Anwar, isteri berlepas ke Brunei hadiri persandingan diraja

Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berlepas ke Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam, malam tadi.

Menerusi hantaran di Facebook, Perdana Menteri memberitahu lawatan itu bagi memenuhi undangan Sultan Brunei ke Istiadat Persandingan Diraja Pengiran Muda Abdul Mateen Bolkiah dan Pengiran Anak Isteri Pengiran Anisha Rosnah Adam yang akan berlangsung hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan juga berkongsikan video membaca doa selamat sebelum menaiki pesawat bersama Wan Azizah.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat tiba di Bandar Seri Begawan.

Istiadat perkahwinan Pengiran Muda Abdul Mateen berlangsung selama 10 hari bermula dengan Majlis Istiadat Bersuruh Diraja pada 7 Januari diikuti Majlis Istiadat Membuka Gendang Jaga-Jaga pada 8 Januari.

Kemudiannya pada 11 Januari lalu, Abdul Mateen dan Dayang Anisha selamat bernikah di Masjid Omar Ali Saifuddien.

Mateen ialah anak ke-10 kepada Sultan Hassanal Bolkiah yang merupakan raja paling lama memerintah di dunia dan pernah menjadi orang terkaya di dunia.

Pengantin perempuannya adalah cucu kepada salah seorang penasihat utama ayahandanya yang mempunyai jenama fesyen dan memiliki perniagaan dalam sektor pelancongan.

Istiadat Persandingan Diraja di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan hari ini merupakan majlis kemuncak dengan upacara gilang-gemilang di istana 1,788 bilik.

Majlis disusuli Istiadat Persantapan Diraja sempena meraikan kedua-dua pengantin diraja pada esok.

Ini diikuti Majlis Istiadat Membaca Doa Selamat dan Menutup Gendang Jaga-Jaga pada 16 Januari.