Cuaca bertambah baik di Pahang dan Johor, amaran hujan berterusan tamat

Amaran hujan berterusan pada tahap waspada yang dikeluarkan pada 12.10 tengah hari semalam melibatkan Pahang dan Johor, kini ditamatkan.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah berkata, amaran tersebut ditamatkan berikutan cuaca bertambah baik di kedua-dua negeri berkenaan.

“Berdasarkan analisis model-model cuaca, didapati cuaca bertambah baik dan tiada potensi hujan berterusan di Pahang dan Johor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu katanya, orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman sesawang rasmi METMalaysia.

Selain itu, masyarakat juga boleh menggunakan aplikasi myCuaca dan laman sosial rasmi METMalaysia untuk mengetahui mengenai perkembangan cuaca.

Talian METMalaysia 1300-22-1638 juga boleh dihubungi untuk sebarang pertanyaan lanjut.

Terdahulu, situasi banjir di Johor dan Pahang dilapor semakin pulih dengan jumlah mangsa semakin berkurangan.

Setakat jam 6 pagi tadi, jumlah mangsa yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) turun kepada 1,940 orang berbanding 2,237 direkodkan petang semalam.

Menurut laporan terkini portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mereka terdiri daripada 557 keluarga dan berlindung di 20 PPS yang masih beroperasi.

Di Johor, 1,221 mangsa banjir direkodkan dan ditempatkan di 13 PPS yang dibuka di Mersing, Kota Tinggi, Kluang, Segamat dan juga Batu Pahat.

Manakala 719 orang daripada 215 keluarga berada di lima PPS di Pahang.

Seramai 573 mangsa direkodkan masih berada di tiga PPS di Pekan, dan 146 lagi di dua PPS di Rompin.

Â