Langkah Dubai: ‘Saya ukur baju di badan sendiri’
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg terus menempelak ‘Langkah Dubai’ yang hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini.
“Saya fikir sudah habis… rupanya banyak langkah.. Langkah satu, langkah dua, langkah tiga, akhir-akhir ini Langkah Dubai pula.
“Saya pun baca… nama saya masuk juga.. kononnya (mungkin) melalui Pilihan Raya, saya juga boleh boleh menjadi Perdana Menteri (kononnya).
“Tetapi, saya tahu sukatan baju saya (ukur baju badan sendiri). Kalau baju saya begini, beginilah (ikut kemampuan diri),” katanya pada Sesi Townhall 7 Tahun Bersama YAB Premier di Satok Ballroom, Hikmah Exchange, di Kuching, malam tadi.
Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab dikendalikan oleh Munawar Sayed Mustar bersama dua lagi moderator, Profesor Datuk Dr Siva Pandian dan Mona Abdul Manap.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof serta semua pemimpin kanan Kabinet Sarawak.
Mengulas lanjut, Abang Jo berkata, Gabungan Parti Sarawak (GPS) sedar akan kedudukan mereka yang hanya mempunyai 23 Ahli Parlimen, dan tidak mungkin beliau bertahan lama sekiranya dipilih menerajui kerajaan yang dibentuk hasil ‘Langkah Dubai’ itu.
“Katakanlah kita ada 23 MP, dia nak tukarkan Anwar dan dia letakkan saya, Anwar sudah tak ada lagi.
“Kau lama tak lama.. kau sana keluar lagi.. Itu saya kata, saya bukan palui (bodoh),” katanya dalam sesi tersebut.
Pada 30 Disember lalu, Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) J-Kom, Datuk Ismail Yusop dilaporkan mendakwa ‘Langkah Dubai’ itu timbul ketika percutian beberapa pemimpin pembangkang dan tokoh-tokoh daripada pihak kerajaan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Mohd Nor kemudian mengesahkan wujud rancangan pembangkang menjatuhkan kerajaan mengikut proses dibenarkan Perlembagaan.
Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) mendakwa sudah mempunyai jumlah sokongan Ahli Parlimen mencukupi bagi membolehkan gabungan berkenaan mengambil alih tampuk pemerintahan negara.
Bagaimanapun, Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan menerima laporan risikan berkaitan rancangan tersebut.
Zahid menegaskan ia tidak memberi kesan, sebaliknya Kerajaan Perpaduan kekal dengan sokongan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.
Susulan kenyataan Sanusi itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke turut menempelak beliau dengan meminta pemimpin daripada Pas itu agar menumpukan pembangunan di Kedah dan tidak perlu sibuk merangka perancangan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.