PM ada 152 sokongan, ‘cerita’ jatuhkan kerajaan ganggu usaha bantu rakyat

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menyifatkan, ‘cerita-cerita’ untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan telah menganggu usaha kerajaan untuk membantu rakyat.

Katanya, walaupun kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai 152 sokongan, namun masih terdapat cerita termasuk yang terbaharu berkaitan Langkah Dubai.

“Cerita dan langkah-langkah sebegitu sebenarnya telah menganggu segala usaha pembangunan yang dilakukan kerajaan untuk membantu rakyat termasuk meningkatkan ekonomi mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mendengar taklimat pembangunan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Pontian, hari ini.

Menurut Ahmad lagi, pembangkang perlu membawa usul tidak percaya di Dewan Rakyat untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan dan bukannya melalui akuan bersumpah (SD).

Dalam pada itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian memuji cadangan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agar diwujudkan Rang Undang-Undang (RUU) khusus bagi membolehkan kerajaan mentadbir sehingga akhir penggal.

Beliau berkata, cadangan tersebut adalah satu tindakan tepat demi kestabilan politik negara dan ianya juga penting bagi memberi peluang parti yang memenangi pilihan raya umum (PRU), mentadbir negara mengikut penggal, tanpa wujud cubaan untuk menjatuhkannya.

Semalam Ahmad Zahid berkata, beliau membuat saranan tersebut demi menjamin kestabilan negara agar kerajaan tidak diganggu oleh percaturan ahli-ahli politik demi kepentingan dan agenda masing-masing.

Timbalan Perdana Menteri itu menambah, pengalaman pahit sebelum ini telah menyaksikan negara berdepan situasi ketidakstabilan politik berikutan pertukaran tiga Perdana Menteri dalam satu penggal, sehingga menjejaskan pembangunan dan ekonomi negara.