Prestasi baik Dr Zaliha bersihkan KL dari salah guna kuasa
Oleh NORMAN RADZUAN
Ramai yang memuji wanita ini – Dr Zaliha Mustafa apabila berjaya menyelesaikan masalah 30 tahun Kampung Setia Jaya ketika dirinya hanya baru beberapa minggu menerajui Kementerian ini.
Selepas itu, pujian terus diterimanya apabila ‘operasi mini Dhaka’ dilakukan di mana telah lama rakyat Malaysia merungut kawasan tersebut seolah-olah dijajah oleh warga Bangladesh.
Tidak berakhir di situ peniaga-peniaga haram terus diserbu dan terbaharu kedai-kedai haram yang dibina oleh warga asing di sekitar Bukit Bintang telah dirobohkan.
Pelik bagaimana ia boleh dibina di kawasan Segitiga Emas Kuala Lumpur jika ada sesuatu yang diragui oleh orang ramai. Ia sudah menjadi buah mulut ramai pihak dan dibimbangi orang ramai hilang kepercayaan kepada pihak berkuasa.
Sedangkan peniaga kecil dipinggir bandar cepat sahaja disaman atau dirobohkan premis haram, bagaimana DBKL boleh tidak nampak kewujudannya selama ini.
Pembersihan yang dimaksudkan bukan bandaraya ini bersih dari sampah sarap kerana bandaraya ini tahap kebersihan boleh dibanggakan tetapi pembersihan dimaksudkan kepada salah guna kuasa oleh sesetengah pihak.
Ini sebenarnya bagi saya cabaran terbesar Dr Zaliha sebagai Menteri yang menjaga atau memimpin pegawai-pegawainya di Wilayah Persekutuan.
Seorang pemimpin tidak dapat dilahirkan dalam sekelip mata sahaja. Mereka ini perlu mempunyai karisma, cekal dalam menghadapi tuntutan kerja dan bermotivasi tinggi untuk menjadi inspirasi kepada orang lain.
Sudah beberapa artikel saya tulis mengenai langkah-langkah yang perlu dilakukan untuk meningkat imej bandaraya Kuala Lumpur ini. Pagi ini saya ingin menulis lagi…
Kesesakan di Jalan Bukit Bintang bermula daripada Pavilion hingga ke Hotel Royal. Jika pada hari minggu dari Pavilion ke Hotel Royal itu boleh memakan masa 30-45 minit untuk hanya jarak 1.5km.
Di mana punca kesesakan tersebut hingga kenderaan dari Jalam Imbi, Jalan Sultan Ismail dan Jalan Changkat Bukit Bintang sesak? Ia hanya berpunca kerana sebaik McD Bukit Bintang daripada jalan 3 lorong hanya tinggal 1 lorong.
Ia berlaku setiap malam seolah-olah tiada penguatkuasaan. Saya sebenarnya hairan penguatkuasaan negara yang dilihat bermusim. Undang-undang sudah wujud tetapi hanya dilaksanakan mengikut musim.
Saya sarankan kepada Dr Zaliha untuk bina pondok penguakuasa DBKL dan polis untuk bertugas 24 jam di situ bagi memastikan kenderaan yang diparkir di sisi jalan tersebut terus disaman.
Saya jamin jika penguatkuasaan ini dilakukan setiap hari tiada lagi yang berani parkir di kiri kanan sisi jalan tersebut. Cara kereta itu parkir membuatkan pelancong merasakan negara ini tiada undang-undang.
Atau cadangan saya bersesuaian dengan teknologi, dipasangkan kamera CCTV di sepanjang jalan Bukit Bintang.
Di mana kereta yang parking di laluan tersebut akan terus disaman secara automatik sepertimana sistem pemantauan dan saman speed trap PDRM.
Disebabkan banyak artikel saya tulis mengenai KL, ramai juga yang pm mengenai pemasalahan di KL.
Ramai memberitahu bukan orang Melayu tidak boleh bertapak berniaga di sana tetapi ada pihak ketiga yang menjadi agen seolah-olah lebih berminat untuk menyewakan premis kepada pihak warga asing.
Isu ini saya serahkan kepada Menteri dan Datuk Bandar.
Sebab itu saya kata tanggungjawab Dr Zaliha sangat berat. Ia bukan kerja mudah apabila negara ini terdedah dengan korupsi di mana-mana sejak sekian lama.
Saya cadangkan dibuka page aduan khas di FB yang terbuka di mana pengadu boleh menggunakan fake account untuk menyembunyikan identiti mereka.
Walaupun ada aduan di laman web DBKL tetapi aduan tersebut khabarnya hanya antara pengadu dan pihak DBKL yg mengetahuinya. Masyarakat atau netizen mahu melihat sendiri jenis-jenis aduan dan tindakan lebih telus.
Page tersebut mestilah boleh dibaca oleh orang ramai bagi memastikan pihak berkuasa mengambil tindakan segera ke atas aduan dengan orang ramai boleh memantau sendiri proses aduan dan tindakan.
Apapun saya sekali lagi mengucapkan tahniah kepada Dr Zaliha dan pihak berkuasa. Negara memerlukan reformasi untuk masa depan generasi anak-anak kita yang lebih baik. Saya tulis kerana saya sayangkan negara ini.