RUU kekal kerajaan perlu wujud – KM Melaka

Rang Undang-Undang (RUU) khusus bagi membolehkan kerajaan mentadbir dan bertahan hingga ke akhir penggal dilihat perlu diwujudkan, kata Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Ketua Menteri Melaka itu berkata, ini kerana kestabilan politik dalam sesebuah negara adalah penting demi kesejahteraan rakyat.

“Apabila kerajaan stabil, maka ramailah pelabur-pelabur asing (FDI). Ketakutan pelabur asing terhadap jangka hayat sesebuah kerajaan Persekutuan Malaysia juga bakal terpadam jika RUU berkenaan direalisasikan.

“Sekarang ini kalau kita lihat akibatnya ramai orang takut hendak datang berniaga di Malaysia kerana kerajaan yang tidak stabil.

“Jadi perlulah ada satu RUU supaya kerajaan yang dipilih dengan penuh mandat ini mesti dipelihara sehingga habis penggal,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Pemukiman Wanita UMNO Bahagian Jasin di A’Famosa Resort, Alor Gajah, Melaka, hari ini.

Dalam pada itu, Rauf turut menyingkap kembali keadaan yang menyaksikan pertukaran kerajaan berlaku pada 2018 yang lalu.

“Pertukaran kerajaan pada 2018 daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH) boleh dijadikan sandaran yang mana pelbagai projek berkualiti tinggi dibatalkan sekali gus menjejaskan kemasukan FDI.

“Sebelum ini kita sudah ada pengalaman apabila Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil alih kerajaan membatalkan projek-projek mega menyebabkan kehilangan keyakinan daripada pelabur-pelabur yang berkualiti tinggi ini kepada Malaysia,” ujar beliau lagi.

Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan RUU baharu perlu digubal bagi memastikan sebuah kerajaan yang wujud sama ada menerusi parti yang dominan atau gabungan dikekalkan sehingga akhir penggal.

Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, ia bertujuan mengelakkan sejarah pertukaran tiga Perdana Menteri dan kerajaan bersilih ganti dalam penggal yang sama berulang.