Selepas 100 hari genosid, lebih 4,000 tentera Israel bergelar OKU

Selepas 100 hari genosid atau pembunuhan beramai-ramai di Palestin, lebih 4,000 tentera Israel kini bergelar orang kurang upaya (OKU).

Hampir 60 peratus daripada jumlah itu cedera serius di tangan dan kaki, termasuk memerlukan amputasi, lapor Walla Israel.

Laman web berita Israel itu berkata, bagaimanapun, tentera negara haram itu tidak memberikan rekod awam mengenai korban dalam pasukannya bagi mengelak semangat dalam masyarakat Israel merosot.

“Sejumlah 4,000 tentera itu menerima status OKU mengikut ‘klasifikasi tiga’, yang bermaksud bahawa mereka berhak mendapat semua layanan dan hak yang diberikan kepada OKU dalam tentera Israel,” lapor Walla Israel.

Sementara itu, akhbar harian Yedioth Ahronoth mendedahkan lebih 58 peratus daripada mereka yang cedera mengalami masalah serius pada tangan dan kaki sehingga memerlukan anggota itu dipotong.

“Lebih 5,000 tentera yang cedera tiba di hospital di Israel. Lebih 2,000 diiktiraf secara rasmi oleh Kementerian Pertahanan sebagai OKU.

“Kami tidak pernah mengalami perkara seperti ini, lebih 58 peratus daripada mereka yang cedera yang kami terima mengalami kecederaan serius di tangan dan kaki, termasuk memerlukan amputasi.

“Kira-kira 12 peratus mengalami kecederaan dalaman membabitkan kerosakan limpa dan buah pinggang serta masalah organ dalaman lain yang pecah,” lapor akhbar itu memetik Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pemulihan Kementerian Pertahanan, Limor Luria.

Dalam masa sama, Pejabat Media Gaza mendedahkan lebih 30,000 rakyat Palestin terkorban sejak perang bermula di Semenanjung Gaza pada 7 Oktober lalu.

Lebih 7,000 orang lagi hilang dengan 70 peratus daripadanya adalah kanak-kanak dan wanita.