Tun M tak harus persoal kesetiaan orang India, Cina – Gobind

Naib Presiden DAP, Gobind Singh Deo, berkata tindakan Tun Dr Mahathir mempersoalkan kesetiaan kaum India terhadap negara ini tidak wajar dilakukan hanya disebabkan mereka masih bertutur dalam bahasa Tamil.

Menteri Digital itu berkata, selain menguasai bahasa Malaysia, kebanyakan rakyat negara ini mampu bertutur pelbagai bahasa termasuk bahasa ibunda seperti Cina dan Tamil serta Iban atau Kadazan.

Tegasnya, perkara itu tidak menimbulkan sebarang masalah, sebaliknya kepelbagaian bahasa dan budaya itu memperkuatkan lagi hubungan rakyat pelbagai kaum di Malaysia.

“Dr Mahathir tidak boleh mempersoalkan kesetiaan orang India dan Cina kepada negara ini hanya kerana mereka masih bertutur dalam bahasa ibunda dan mengikuti budaya serta adat istiadat sendiri.

“Tindakan ini boleh memecah belahkan perpaduan yang terjalin antara rakyat.

“Bagi kami, kelebihan bertutur lebih dari satu bahasa tidak pernah menjadi masalah, sebaliknya kepelbagaian itulah yang memperkuatkan sesama kita dalam dunia globalisasi sekarang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Mahathir dalam satu sesi temu bual eksklusif dengan saluran TV satelit India, Thanti TV dilapor mendakwa masyarakat India Malaysia masih tidak setia sepenuhnya kepada negara ini kerana mereka masih ‘terikat’ dengan negara asal mereka.

Katanya, seseorang itu harus dikenali sebagai orang Melayu untuk berhak menganggap Malaysia sebagai negara sendiri, tetapi orang India Malaysia tidak bercakap bahasa Melayu sebagai bahasa asal mereka, sebaliknya masih bercakap Tamil.

Mengulas lanjut Gobind berkata, Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara atas dasar agama, kaum, keturunan, tempat kelahiran atau jantina dalam setiap undang-undang.

Menurutnya, Malaysia sebagai negara pelbagai kaum memiliki rakyat yang mempunyai latar belakang keagamaan dan budaya berbeza.

“Tidak ada salahnya jika kita berasal daripada latar belakang bangsa, agama dan budaya yang berbeza atau bertutur dalam bahasa berlainan kerana kita memang warga Malaysia dan setia kepada negara,” kata Gobind lagi.