Akta lompat parti perlu dipinda, kata ahli akademik

Penganalisis politik Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berpandangan, undang-undang lompat parti perlu disemak dan dipinda semula dengan kadar segera bagi menangani isu menumbangkan kerajaan semasa yang mentadbir negara.

Beliau berkata, sebarang kelemahan dan kelompongan yang boleh memberi ruang manipulasi oleh pemain politik, perlu ditutup serapatnya.

”Malah, ia juga boleh mewujudkan keadaan politik yang stabil serta kerajaan memerintah tidak perlu bimbang dijatuhkan oleh sesiapa sehingga tamat tempoh penggal sebagai wakil rakyat,” katanya dalam wawancara bersama Berita Harian.

Ditanya adakah perlu untuk menggubal undang-undang bagi menghalang atau menyekat Ahli Parlimen daripada beralih sokongan kepada blok pembangkang atau kerajaan, ahli akademik itu berpendapat, ianya tiada keperluan untuk melakukannya.

Namun katanya, pindaan kepada peruntukan sedia ada perlu dipercepatkan dan parti politik boleh mengambil iktibar daripada tindakan lima Ahli Parlimen Bersatu beralih sokongan kepada Kerajaan Perpaduan sebelum ini.

”Ambil iktibar dengan meminda segera perlembagaan parti dengan memasukkan sekatan dan kawalan terhadap wakil rakyat mereka.

”Kedua-duanya memerluka keazaman politik yang tinggi dengan mengenepikan muslihat politik masing-masing dan semata-mata mahu memastikan rakyat tidak terganggu dengan situasi politik tidak menentu,” ujar beliau lagi.

Untuk rekod, sokongan yang diberikan Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (PN-Bukit Gantang) kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 28 November tahun lalu, menjadikan beliau ahli parlimen kelima daripada Bersatu yang menyokong Kerajaan Perpaduan.

Empat Ahli Parlimen sebelum ini yang menyokong Anwar adalah Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid pada 12 Oktober lalu, diikuti Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman pada 30 Oktober lalu, Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim (7 November) dan Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik (8 November).