Akta Parlimen Berpenggal Tetap perkukuh kepercayaan rakyat
Akta Parlimen Berpenggal Tetap diyakini sebagai langkah proaktif dan strategik dalam memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap sistem demokrasi di negara ini yang semakin rosak sejak Langkah Sheraton 2020.
Keyakinan mengenai cadangan Rang Undang-Undang (RUU) itu disuarakan Pemuda AMANAH Nasional menerusi Timbalan Ketua Pemudanya, Danial Al-Rashid Haron.
Danial menyifatkan RUU berkenaan memberikan landasan kukuh untuk mengekalkan sesebuah kerajaan yang dibentuk selepas pilihan raya umum dan menjadikan kestabilan politik sebagai teras utama dalam pembangunan negara.
”Akta Parlimen Berpenggal Tetap menghormati mandat pilihan raya, proses demokrasi, dan memastikan kestabilan politik, lebih-lebih lagi dalam keadaan semasa geopolitik yang tidak tentu pada hari ini.
”Perkara ini akan mencipta persekitaran yang kondusif untuk pembangunan ekonomi jangka panjang, dengan mengelak daripada ketidak pastian politik yang boleh merosakkan kepercayaan dan pertumbuhan ekonomi dengan memberikan kepastian kepada pelabur untuk melabur dalam negara,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Dalam pada itu, Danial yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga turut memuji RUU berkenaan yang dilihat mampu memberi ruang kepada sesebuah kerajaan yang baru dibentuk, untuk melaksanakan pembaharuan undang-undang dan penambahbaikan polisi dalam tempoh masa yang secukupnya.
Katanya, RUU itu juga merupakan sebuah jawapan kepada penyelesaian konflik politik dalam negara yang telah berlanjutan sejak 2020 kesan daripada Langkah Sheraton yang didalangi Pas dan Bersatu.
Pada 14 Januari lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan RUU baharu perlu digubal bagi memastikan sebuah kerajaan yang wujud sama ada menerusi parti yang dominan atau gabungan dikekalkan sehingga akhir penggal.
Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, ia bertujuan mengelakkan sejarah pertukaran tiga Perdana Menteri dan kerajaan bersilih ganti dalam penggal yang sama berulang.
Sehari selepas itu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh pula melihat RUU berkenaan perlu diwujudkan bagi membolehkan kerajaan mentadbir dan bertahan hingga ke akhir penggal.
Beliau berkata, kestabilan politik dalam sesebuah negara adalah penting demi kesejahteraan rakyat dan apabila kerajaan stabil, maka ramai pelabur-pelabur asing (FDI) melabur di negara ini.
Katanya, ketakutan pelabur asing terhadap jangka hayat sesebuah kerajaan Persekutuan Malaysia juga bakal terpadam jika RUU berkenaan direalisasikan.
Â