Kedah terima RM1.18 bilion bukti tidak diketepi Kerajaan Persekutuan
Peruntukan sebanyak RM1.18 bilion daripada Kerajaan Persekutuan kepada Kedah membuktikan negeri jelapang padi itu tidak dianaktirikan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan, meskipun tidak selari dalam pentadbiran, kerajaan sama sekali tidak akan menganaktirikan Kedah.
“Perkara tersebut terbukti dengan peruntukan RM1.18 bilion daripada kerajaan untuk pembangunan negeri ini (Kedah) berbanding RM100 juta yang diperuntukkan oleh kerajaan negeri.
“Kedah sama sekali tidak diketepi, dibelakangkan atau dianaktirikan Kerajaan Persekutuan walaupun berbeza daripada amalan demokrasi,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kedah berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kedah dan Sungai Anak Bukit, hari ini.
Menurut Saifuddin yang juga Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan sebanyak RM1.18 bilion untuk pelbagai pembangunan di Kedah melibatkan 430 projek tahun ini.