Maksud ‘liberal’ sudah dirosakkan

Oleh NORMAN RADZUAN

Ideologi adalah sistem pemikiran atau kepercayaan (belief system) untuk seseorang melihat dunia ataupun kita panggil worldview.

Dengan ideologi, seseorang itu mentafsirkan aspek-aspek kehidupan seperti agama, politik, ekonomi, susun atur sosial dan lain-lain. Ia mengikut keadaan negara, bangsa dan agama.

Ada mengamalkan Islamisme, sekularisme, liberalrime, nasionalisme dan bermacam-macam lagi. Islam pun ada yang progresif seperti parti AMANAH dan ada yang konservatif seperti Pas.

Ada ideologi yang ekstrem. Antara ideologi yang dilihat moderate mengikut pandangan saya ialah liberal.

Namun, di negara kita perkataan liberal itu telah dirosakkan maksudnya sehingga dipandang negatif apatah kerana orang Melayu kurang membaca dan tidak mahu belajar mengenainya.

Padahal, dalam Islam sendiri ada nilai-nilai kebebasan seperti membebaskan perhambaan sesama manusia kepada perhambaan pada Tuhan, ini adalah nilai liberal.

Selain itu, sejarah Islam menjadi asas pembebasan daripada penjajah, membebaskan manusia dari sifat jahiliyah kepada masyarakat ilmu. Ini semua adalah nilai liberal.

Penafsiran itu mengikut masing-masing. Tidak kesemua nilai ini bertentangan dengan Islam. Kesamaan kaum sebagai contoh, tidak bertentangan dengan Islam.

Islam datang menghapuskan amalan assabiyah kaum kepada kesaksamaan dalam Islam dan yang membezakan manusia adalah taqwa.

Nilai bertentangan dengan agama kita tolak seperti kesamaan gender. PMX dan kerajaannya terang-terang menolak untuk mengiktiraf aktiviti LGBT sebagai contohnya.

Islam tidak beri kesamaan gender tetapi Islam memberi keadilan kepada golongan gender ini.

Penutup kata, Islam Liberal ini telah digunakan sebagai senjata ‘menyesatkan’ pemikiran orang Melayu untuk menakutkan kepada parti lawan. Sedangkan, ia tidak berlaku.

Yang dilihat liberal dianggap Islamik tetapi yang Islamik dari kehidupan keluarga, akhlaknya, perjuangannya menentang rasuah dianggap liberal.

Yang menambah aktiviti perjudian dianggap Islamik dan yang mengurangkan perjudian dituduh liberal? Dunia sudah terbalik dan menuju pengakhirnya.

Melabel lawan politik dengan perkataan sesat, kafir, Islam Liberal sangat tidak bertanggungjawab.

Adakah Islam dan Malaysia mahu dibawa ke zaman kegelapan?