Mungkin pertahan fitnah juga satu cabang dakwah Pas?

Pendirian wakil rakyat Pas, Dr Siti Mastura Muhammad yang berdegil untuk pertahan kenyataannya terhadap tiga ahli DAP menggambarkan teruknya parti diterajui Abdul Hadi Awang itu.

Jika hobi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkaraoke secara dalam talian hingga awal pagi itu dianggap Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP) sebagai pendekatan dakwah yang tersendiri, apa pula dalil untuk Mastura ini?

Menurut pemerhati politik Ahmad Mursi, Mastura bukan hanya fitnah tetapi mempertahankan fitnah.

“Mungkin Pas rasa halal sebab mangsanya non-Muslim. Ada Hadis, Nabi SAW akan bela kafir mu’ahad yang dizalimi di akhirat kelak,” katanya.

Alasan Mastura bahawa fakta kononnya ahli veteran DAP itu, Lim Kit Siang merupakan sepupu kepada pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng diperoleh daripada bahan kempen Barisan Nasional (BN) juga mengejutkan.

Mastura yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas dilapor berkata, berdasarkan sumber itu, ia sekali gus membuktikan Kit Siang dan anaknya Pengerusi DAP, Lim Guan Eng adalah sepupu kepada bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew.

Keyakinan Mastura itu mengundang kecaman orang ramai memandangkan pemimpin Muslimat Pas berkenaan memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pengurusan Pembangunan Islam di Universiti Sains Malaysia (USM).

Bagi Mustapa Mohd Said, tak guna ada PhD jika perangai dan minda tidak melambangkan dirinya sebagai seorang Muslim.

“Islam melarang keras seorang Muslim memfitnah sesiapa pun, tidak kira apa bangsa dan agama mereka. Masakan seorang Muslim yang ada PhD tidak tahukan hukum-hakam hal ini.

“Yang salah juga ialah majoriti rakyat di kawasan Parlimen Kepala Batas yang telah memilihnya dulu. Mereka tak kenal mana satu kaca dan mana satu intan,” tegas Mustapa lagi.

Reaksi sama dilontarkan Umie Iza Abdullah yang berkata, “Yang paling memalukan, seorang yang terdidik boleh percaya dan petik sumber yang tiada asas”.

Malah, Mastura mendakwa Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok kononnya sepupu kepada isteri Guan Eng, iaitu Betty Chew.

Terdahulu, ketiga-tiga pemimpin kanan DAP itu mendakwa Mastura telah membuat kenyataan yang berunsur fitnah kerana mengaitkan mereka dengan Chin Peng serta Lee Kuan Yew yang tidak ada mengena langsung pada 4 November lalu.

Mastura mendakwa pemimpin-pemimpin DAP terbabit menyokong, mengamal dan menyebarkan ideologi serta falsafah komunis.

Tiga ahli politik itu menegaskan dakwaan defendan tidak berasas dan palsu, malah mereka menuntut ganti rugi secara am serta injunksi untuk menghalangnya mengulangi dakwaan tersebut.