Pupuk nilai keamanan, keharmonian di Selangor

Menyingkap kembali era pentadbiran penggal lalu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyifatkan ianya telah melalui rencam perkara dan cabaran yang dihadapi sepanjang mentadbir negeri tersebut.

Dalam ucapan Amanat Tahun Baharu 2024, beliau berkata, fabrik dan landskap di negeri berkenaan berbeza dengan peringkat dan negeri lain.

“Kalau kita berjaya ‘perform’ di negeri lain, tidak semestinya kita berjaya di negeri ini.

“Persepsi dan kehendak rakyat Selangor berbeza dan melebihi, berbanding dengan harapan di kawasan lain.

“Kita mahukan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

“Ini tidak bermaksud kita tidak menghormati keluarga dan masyarakat kita sendiri.

“Namun, kita harus ingat dan bersedia mendalami perbezaan antara satu komuniti dengan yang lain dan mencari titik persamaan antara kita,” katanya dalam amanat berkenaan, hari ini.

Majlis amanat bersama penjawat awam Negeri Selangor itu telah diadakan di Auditorium Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam, pagi tadi.

Dalam amanat sama, Ahli Parlimen Gombak itu menyifatkan, apa yang terkandung dalam kepercayaan masyarakat Melayu, Cina, dan India sememangnya terdapat perbezaan.

“Namun, kita tidak boleh menggunakan perbezaan itu bagi membiarkan orang yang hanya menggunakan politik identiti, untuk memecahbelahkan kita.

“Kita juga tidak seharusnya membiarkan diri untuk meninggalkan nilai kebersamaan, kesatuan, saling memahami dan berempati.

“Jangan biarkan keegoan terhadap identiti membiarkan kita melupakan perkara-perkara sedemikian,” pesan beliau lagi.