Satu lagi kes kereta baru beli rosak, tuan dibuat macam bola ping pong

Seorang pengguna yang menggunakan nama Facebook Ahmad Shah, meluahkan kekecewaan apabila mendakwa kereta Honda CR-V yang baru dibeli ayahnya, mengalami kerosakan dan setakat ini masih belum menemui jalan penyelesaian.

Menceritakan kisah itu, pemuda berkenaan berkata ayahnya membeli kereta tersebut pada Disember tahun lalu di sebuah cawangan di Melaka.

Katanya, sebaik sahaja membawa keluar kereta itu dari pusat pameran, ayahnya mendapati terdapat bunyi bising yang kuat, namun menganggap ia mungkin disebabkan keadaan jalan yang tidak berapa baik.

”Kemudian ayah mendapati bunyi yang sangat kuat itu datang daripada kereta baharu miliknya itu. Bunyinya seakan sedang menunggang motosikal.

“Bunyi tersebut hilang apabila kereta berhenti. Ia hanya akan mengeluarkan bunyi yang sangat kuat apabila kereta sedang bergerak.

“Ayah menghantar semula kereta tersebut ke cawangan sama untuk menjalani pemeriksaan. Mereka hanya menukar tombol atau kunci pintu, namun kereta masih mengeluarkan bunyi yang sama.

”Ketika pemeriksaan kedua pula, mereka memandu uji kereta tersebut dan mengesahkan terdapat bunyi tidak normal semasa memandu. Pengurus cawangan turut mengesahkan ada bunyi yang sama.

”Kemudian mereka memaklumkan bahawa kereta tersebut akan dihantar ke Pusat Servis Utama iaitu Honda Malaysia.

“Ini kerana katanya cawangan mereka tidak dapat membuat apa-apa tanpa pemeriksaan yang lebih teliti daripada Honda Malaysia,” dakwa pemuda itu di laman Facebook.

Menurut pemuda yang mewakili suara ayahnya itu, sehingga kini mereka sekeluarga masih belum menerima sebarang berita mengenai aduan kerosakan yang dialami kenderaan baru dibeli itu.

Katanya, ayahnya menghubungi semula pengurus cawangan itu dan beliau memaklumkan sentiasa cuba mendapatkan maklum balas dan perkembangan daripada Honda Malaysia.

”Namun setakat ini masih tidak diketahui apa puncanya. Agak pelik kerana usia kenderaan belum mencecah sebulan, tetapi tempoh jaminan Honda seperti sudah tamat berpuluh tahun.

”Kemudian ayah berhubung pula dengan seorang Ketua Perkhidmatan Pelanggan Honda Malaysia.

“Ia seperti satu perlawanan ping-pong. Dia memaklumkan bahawa kes ini akan dirujuk semula dan diselesaikan oleh pihak cawangan tempat ayah saya membeli kereta.

Dalam catatan sama, Ahmad Shah berkata, pengurus cawangan iaitu di tempat ayahnya membeli kereta itu menyatakan bahawa pihaknya sedang berusaha untuk mendapatkan maklum balas daripada Honda Malaysia.