Mengapa gaya hidup Tun M, Mahiaddin tidak dianggap Islam Liberal?

Oleh NORMAN RADZUAN

Ketika zaman remaja mengenali politik, saya tertarik dengan perjuangan Islam. Saya mendekati Al Arqam dan dalam politik bersama Pas.

Dengan menggunakan ‘gam hingus’, rakan-rakan sebaya menampal logo Pas dalam kertas bersaiz separuh A4 di tiang-tiang lampu selepas Subuh. Tak ada gambar calon kerana Pas ketika itu di zaman era gelapnya tidak berduit.

Dalam ceramah-ceramah Pas dan tentu musuh utamanya adalah UMNO di era 80-an, pemimpin Pas menggambarkan UMNO sebagai sekular. Kerana doktrin itu saya anggap ibu saya dalam kesesatan.

Dalilnya itu kerana sekularisme berasaskan pemisahan agama iaitu menolak peraturan syariah dan lebih suka peraturan selain dari syariah.

Cuma saya tidak faham kenapa ahli Parlimen Pas sanggup mengangkat sumpah di Parlimen untuk ‘memelihara, melindungi dan mempertahan’ Perlembagaan dalam lafaz sumpah mereka.

Sedangkan mereka sendiri mengatakan syirik yang membatalkan dua kalimah syahadah jika pertahankan sekular.

Maka, UMNO itu kafir dan muncullah amanat sehingga terjadinya solat dua imam, tidak halal ayam disembelih oleh orang UMNO dan suami isteri bercerai kerana fahaman politik yang berbeza.

Di era ini, perkataan sekular tidak popular lagi dan telah bertukar kepada Islam Liberal. Mereka yang tidak bersama mereka dianggap ‘Islam Liberal’.

Ramai ekstremis Melayu yang dengar perkataan ini daripada pemimpin mereka, menggunakan istilah tersebut tetapi individu itu sendiri tidak memahami apa maksud liberal sebenarnya.

Saya bicara dalam pemahaman dan pandangan peribadi. Mungkin tidak bersependapat dengan pembaca. Bagaimanapun, saya cuba mudahkan bahasa agar ia lebih ringan dibaca dan difahami.

Salah guna

Apa itu liberal? Di Malaysia, istilah itu telah disalahgunakan terhadap lawan politik. Hingga orang Melayu anggap liberal itu ‘kafir’ atau tidak Islam.

Sebenarnya, maksud liberal luas tetapi telah dikelirukan oleh parti politik di negara ini. Apabila sebut liberal diterjemahkan sebagai ‘Islam Liberal’.

Mungkin berkait rapat dengan apa yang berlaku di Indonesia apabila ada kelompok di sana yang menggelarkan mereka sebagai Islam liberal di Indonesia.

Kelompok ini terlalu ekstrem kerana mahu melakukan kajian semula terhadap al-Quran apabila mahu mengubah istilah yang ada kerana dikatakan disalah tafsir oleh sahabat Rasulullah SAW serta ulama terdahulu. Ia tidak ada mengena dengan kerajaan atau situasi di Malaysia.

Semalam, saya ‘berperang’ tentang perkara ini. Dua rakan ini kaitkan Anwar Ibrahim sebagai liberal kerana pernah keluar kenyataan tersebut.

Saya tidak hairan kerana kedua-duanya sangat anti terhadap PMX. Jelas, mereka tidak faham maksud liberal itu sendiri dan hanya ikut-ikutan sahaja.

Sejarah liberal

Perkataan liberal berasal daripada perkataan Latin ‘liber’ bermaksud bebas atau bukan hamba. ‘Liberal’ banyak dikaitkan dengan perkataan Inggeris ‘liberty’ dan konsep kebebasan.

Ia bersifat atau ber­pandangan bebas, berpandangan terbuka, membebaskan pandangan yang sempit sesuai dengan perkem­bangan sains dan teknologi hari ini. Apakah ia tidak ada kena mengena dengan Islam?

Terma liberal menjadi asas kepada liberalisme. Makna mengikut pandangan masing-masing (peribadi) atau kumpulan-kumpulan tertentu.

Ia dianggap lebih baik atau lebih moderate berbanding ideologi sekular yang sukar diterima pada era zaman gelap atau zaman kelam di Eropah.

Fahaman sekular sukar diterima kerana ia memisahkan antara gereja dan negara. Jadi, ideolgi liberal dianggap lebih baik.

Kepada yang tidak mengetahui di Eropah pernah berlaku Zaman Gelap atau Zaman Kelam. Eropah telah mengalami kemerosotan dalam bidang ilmu pengetahuan, perdagangan dan kehidupan perbandaran.

Tidak terdapat pusat pentadbiran yg berkesan. Sebaliknya, pada masa yang sama, dunia Islam telah berada di zaman kegemilangannya.

Selalu ‘kan Tok Guru agama kita menceritakan kehebatan Islam lebih ke hadapan dari Barat.

Ketika itu, dunia Islam yang kita pernah dengar bagaimana kehebatan pemerintahan di zaman Khulafa Al Rasidin, Bani Umaiyah dan Bani Abbasiyah.

Islam ketika itu sudah mempunyai pusat pentadbiran yang mantap dan sistem ilmu pengetahuan yang unggul.

Oleh itu, dunia Eropah telah menceduk banyak ilmu daripada dunia Islam demi meningkatkan pencapaian masyarakat mereka terutama di era Zaman Pertengahan.

Ramai ilmuan Kristian mengembara ke negara Islam untuk mempelajari sains dan nama terkenal seperti Leonardo Fibonacci mempelajari ilmu perubatan, falsafah, matematik, kosmografi dan subjek-subjek lain.

Saya masih ingat ketika di dalam jamaah Al Arqam, Ustaz Ashaari menceritakan mengenai kehebatan ilmuan Islam di kota Andalusia.

Teknologi dunia bermula di sini dan jika bukan kerana Islam membuka kota ini untuk Eropah, mereka tidak akan sehebat sekarang.

Berbalik kepada liberalisme di Eropah itu, mereka bangkit apabila melihat sifat gereja yang mengongkong telah membuatkan pusat pemerintahan lemah, kegiatan ekonomi terhad dan kelembapan perkembangan ilmu pengetahuan.

Pemikir Eropah melihat gereja seperti mengambil kesempatan di mana pemimpin gereja sendiri dilihat bermewahan. Menggunakan agama untuk mengongkong pemikiran rakyat.

Maka muncullah gerakan atau gelombang yang kita pernah dengar iaitu Renaissance. Punca kuasa dialihkan tetapi ketika tafsiran ideologi itu lebih kepada sekular apabila kuasa monarki mengambil alih.

Kuasa Raja dimantapkan dan mengatasi gereja dan golongan bangsawan yang dilihat sebelum itu punca zaman kegelapan Eeopah. Jelas, ia pembaharuan yang dari kegelapan kepada cahaya.

Melacurkan liberal

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia MADANI Negeri Terengganu di UNISZA, Kuala Terengganu, 13 Mei 2023. – SADIQ ASYRAF/Pejabat Perdana Menteri NO SALES; NO ARCHIVE; RESTRICTED TO EDITORIAL USE ONLY. NOTE TO EDITORS: This photos may only be used for editorial reporting purposes for the contemporaneous illustration of events, things or the people in the image or facts mentioned in the caption. Reuse of the pictures may require further permission.

Menggunakan istilah Islam Liberal untuk menjatuhkan reputasi lawan politik adalah tidak bertanggungjawab.

Adakah Kerajaan Perpaduan di bawah Anwar Ibrahim menolak Islam, mengamalkan kehidupan Islam Liberal seperti dimaksudkan oleh kelompok di Indonesia itu?

Saya tidak mahu menggunakan gambar keluarga-keluarga mantan Perdana Menteri yang selalu digunakan oleh cytro demi menjaga keaiban mereka.

Namun, semua orang pernah melihat keluarga Anwar kesemuanya menutup aurat. Malah, Anwar dikenali sangat rapat dan memuliakn ulama-ulama dunia dan dalam negara. Sehinggakan rumah Seri Perdana, PMX jadikan tempat majlis agama.

Adakah ini Islam Liberal? Tun Mahathir hentikan bantuan sekolah agama tapi Anwar kembalikan peruntukan bajet sekolah agama. Siapa yang liberal sebenarnya?

Sedangkan ada mantan Perdana Menteri tidak benarkan isteri bertudung, anak PM jadi paderi Islam sedangkan Mufti menegur anak mantan PM itu menggunakan gelaran Priest.

Mengapa gaya kehidupan Tun atau Muhyiddin tidak dianggap Islam Liberal? Mengapa Pas tidak mahu menegur atau melabelkan Tun dan Muhyiddin sebagai Islam Liberal?

Jawapannya kerana kedua-duanya menentang Anwar Ibrahim (satu pasukan atau barisan).