`Jutawan senyap’ masuk hospital, proses SPRM ditangguh

Susulan Tun Daim Zainuddin dimasukkan ke hospital, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menetapkan tarikh baharu untuk merakam keterangan bekas Menteri Kewangan itu.

Proses SPRM yang sepatutnya berlangsung hari ini, ditangguhkan hingga tarikh baharu diperoleh kelak.

BH memetik sumber berkata, temu bual dengan tokoh yang turut digelar ‘Jutawan Senyap’ itu perlu dijadualkan semula memandangkan Daim dimasukkan ke hospital.

“Kami dimaklumkan beliau dimasukkan ke hospital minggu lalu, jadi kami kena tetapkan tarikh baharu,” katanya lapor FMT.

Dalam afidavit yang difailkan bersama permohonan semakan kehakimannya pada 10 Januari lalu, Daim atau nama penuhnya, Che Abdul Daim Zainuddin berkata, beliau ‘kehilangan’ RM50 bilion apabila memutuskan untuk menyertai politik dan berkhidmat kepada negara sekitar 1980-an.

“Jika saya kekal dalam perniagaan untuk mengembangkan aset ini secara aktif, nilai untuk pegangan saham cair (liquid stock holding) saya sahaja akan bernilai lebih RM50 bilion hari ini.

“Itulah kos peribadi saya hari ini dalam keputusan menyertai kerajaan. Seperti yang ditunjukkan oleh angka-angka yang dinyatakan, keputusan saya untuk menyertai kerajaan dan berkhidmat kepada negara mendatangkan kerugian kewangan yang besar kepada diri saya dan keluarga saya,” katanya.

Dedahnya lagi dalam afidavit bagi mencabar tindakan SPRM yang menyiasat dan membekukan aset beliau dan keluarga termasuk syarikat, Menara Ilham Sdn. Bhd itu, aset cair beliau berjumlah kira-kira RM750 juta (AS$250 juta) sebelum menyertai Kabinet.

Bekas Menteri Kewangan berkenaan dan keluarganya memfailkan semakan tersebut atas dakwaan SPRM tidak mempunyai asas untuk menyiasat dan membekukan asetnya serta aset ahli-ahli keluarganya yang lain.

Daim dilantik sebagai Senator Dewan Negara pada 1982 kemudian Menteri Kewangan dan Bendahari UMNO pada 1984 sebelum meletakkan jawatan pada 1991.

Beliau dilantik semula sebagai Menteri Kewangan I pada tahun 1999 sebelum meletakkan semua jawatan dalam Kabinet dan sebagai Bendahari UMNO pada 2001.

Semasa Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri buat kali kedua pada Mei 2018, Daim dilantik bagi mengetuai Majlis Penasihat Kerajaan mengenai ekonomi dan kewangan ketika proses peralihan kuasa.