Tuduhan hapuskan sistem perundangan Islam: Ini penegasan Ketua Hakim Negara

Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menegaskan bahawa dua keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini termasuk kes Forum SIS, pada dasarnya menyentuh persoalan sama ada badan perundangan negeri Selangor diberi kuasa untuk meluluskan undang-undang tertentu.

“Ini adalah bentuk cabaran yang jelas dan merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan kita.

“Malangnya, kedua-dua kes ini dijadikan oleh sesetengah pihak ‘lebih’ daripada apa yang sebenarnya.

“Kes-kes ini tidak ada kaitan dengan hakikat agama Islam yang tulen.

“Ia hanya bertujuan menekankan semula persempadanan kuasa yang jelas antara persekutuan dan negeri-negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pembukaan Tahun Undang-Undang 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Menurutnya, komen pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab disasarkan untuk menggambarkan bahawa Badan Kehakiman mempunyai “agenda” atau motif untuk menghapuskan Islam di negara ini, atau agenda menghapuskan sistem perundangan Islam di negara ini.

“Komen dalam kedua-dua kes adalah jauh dan luas. Dalam sesetengah bahagian, komen-komen ini secara tidak wajar mempersoalkan kepercayaan peribadi Hakim tertentu atau malah motivasi mereka dalam membuat keputusan sedemikian.

“Di satu sudut lain, komen sedemikian menimbulkan kebencian dan niat jahat dalam kalangan orang ramai terhadap badan kehakiman, atau kebimbangan terhadap keputusan nanti yang dianggap telah diputarbelitkan.

“Di sudut lain pula, orang ramai dihimpunkan, dan kehadiran mereka digunakan untuk menakut-nakutkan para hakim.

“Contoh ini menunjukkan bagaimana kebebasan kehakiman terhakis dan bagaimana keyakinan orang ramai terhadap Badan Kehakiman terjejas,” kata Tengku Maimun lagi.