Kerajaan gerakkan inisiatif gelombang padi tahun ini

Inisiatif ‘Gelombang Padi” digerakkan tahun ini bagi mengangkat industri padi dan beras negara ke tahap lebih cekap dan berdaya tahan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, sebanyak 12 program menerusi inisiatif itu akan dilaksanakan yang merupakan ‘pencetus perubahan’ bagi transformasi industri padi dan beras negara.

Antaranya, kata beliau, memperkenalkan dasar baharu Insentif Benih Padi Sah (IBPS), memulih dan membangunkan kawasan tanah jerlus serta memperkasa pembekalan input pertanian.

Turut dilaksanakan usaha memperkasa penanaman padi bukit dan padi huma di Sabah dan Sarawak dengan menyediakan peruntukan bagi pembekalan input pertanian.

“Inisiatif ini juga diharap meningkatkan pendapatan pengeluar makanan di sepanjang rantaian makanan,” katanya ketika menyampaikan amanat tahun baharu 2024 kepada warga KPKM hari ini.

Beliau berkata, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mensasarkan untuk mencapai 100 peratus kadar sara diri (SSR) beras.

“Purata pengeluaran beras negara masih tidak mencukupi dengan kadar SSR beras negara hanya 65 peratus (tahun lepas).

“35 peratus lagi masih belum mencukupi dan usaha untuk meningkatkan SSR ini perlu dijadikan keutamaan bermula 2024,” katanya.

Dalam masa sama, kata Mohamad, KPKM juga akan memberi tumpuan untuk mengukuhkan industri sedia ada iaitu ayam dan telur, bawang dan nanas tahun ini.

“Produk nanas adalah salah satu produk baharu yang turut boleh diteroka untuk dijadikan sumber kekayaan baharu bagi sektor agromakanan.

“Justeru pada 2024, Malaysia akan memperkenalkan konsep tanaman nanas iaitu ‘Sekali Tanam, Tiga Kali Tuai’.

“Konsep ini memberi penekanan kepada hasil tuaian buah, benih dan sisa nanas yang boleh memberi pendapatan tambahan kepada pengusaha sebanyak RM37,000 sehektar daripada jualan sisa nanas sahaja,” kata Mohamad lagi.