Menggeletar cerita duit simpanan lesap dalam bank, ini nasihat Dynas

Selebriti Dynas Mokhtar dilihat menggeletar ketika menceritakan kehilangan hampir semua duit simpanannya dalam sebuah bank.

Tanpa memberitahu nama bank terlibat, beliau hanya menyedarinya ketika membuat pemindahan wang untuk membayar gaji pembantu peribadi.

“Saya pulang ke rumah dan berhasrat membuat pembayaran gaji pembantu peribadi selepas habis penggambaran.

“Ketika itulah baru perasan hampir semua wang simpanan lesap.

“Saya tidak memiliki kad kredit, sebaliknya memilih menggunakan kad debit kononnya untuk mengelak daripada berhutang.

“Bila menyemak penyata akaun, saya melihat ada transaksi mata wang asing yang pelik-pelik.

“Tapi, saya tidak boleh dedahkan terlalu banyak sebab perkara ini masih dalam siasatan dan laporan polis juga sudah dibuat,” jelasnyamenerusi hantaran video dimuat naik dalam Instagram.

Sehubungan itu, Dynas, 40, memohon doa orang ramai agar wangnya dikembalikan.

Dalam masa sama, Dynas juga menasihati orang ramai lebih berhati-hati supaya kejadian sama tidak menimpa mereka.

“Doakan saya dapat kembali wang berkenaan. Saya tak mahu orang lain melalui pengalaman sama seperti saya.

“Ini berlaku bukan sebab klik pada pautan, tapi semua orang kena berhati-hati supaya tak dedahkan nombor kad debit.

“Selain itu, jangan letak duit banyak dalam akaun bank yang guna kad debit.

“Kita tak tahu mungkin ada orang yang boleh klon kad, sedangkan di situlah segala wang kita letakkan kononnya tak perlu berhutang bila nak buat sesuatu pembayaran.

“Simpanlah wang di tempat lebih selamat. Sekarang, semua wang sudah lesap, saya sudah tak tahu di mana atau apa lagi yang selamat sekarang.

“Kita berada di zaman pembayaran mudah alih (cashless), segala transaksi dibuat secara dalam talian, tapi adakah semua itu selamat? Doakan saya semua,” kata Dynas lagi.