RUU Parlimen Berpenggal Tetap bukan keutamaan lagi
Rang Undang-Undang (RUU) Parlimen Berpenggal Tetap yang dicadangkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bukan satu satu keutamaan lagi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ini kerana pimpinan parti kerajaan perpaduan belum mencapai kata sepakat berhubung perkara ini.
“Kami tidak membincangkannya lagi. Ia agak ‘premature’.
“Ada cadangan tetapi bagi saya ia bukan keutamaan,” katanya kepada media selepas Majlis Perasmian Kecerdasan Buatan (AI) untuk Rakyat di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Pada Sabtu lalu Zahid membuat cadangan RUU tersebut sebagai langkah untuk mencegah langkah menumbangkan kerajaan seperti Langkah Dubai.
Dalam pada itu, Anwar turut mengulas perihal Langkah Dubai.
“Saya tidak pernah memikirkan itu perkara serius (Langkah Dubai). Ini uar-uar pembangkang yang terdesak dan seperti Langkah Dubai, saya tak komen pun.
Ini tak ada asas,” katanya.