Sejuta rakyat celik AI disasar hingga Disember ini

Kerajaan mensasarkan sejuta rakyat akan mengikuti program literasi Kecerdasan Buatan (AI) selama empat jam, hingga hujung tahun ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sebagai permulaan program itu perlu segera dilaksanakan dan dimulakan kepada pelajar sekolah, penuntut universiti dan penjawat awam.

Menurut Perdana Menteri, program asas mengenai AI itu terbuka kepada rakyat sebagai usaha transformasi digital yang sedang giat dijalankan kerajaan.

“Kerajaan kini serius melaksanakan transformasi digital melalui program AI ini.

“Kita tiada pilihan untuk mendedahkan rakyat dengan literasi AI ini, ” katanya selepas pelancaran Program Kecerdasan Buatan AI di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Kata Anwar, kerajaan serius dalam melaksanakan transformasi digital negara dan ingin memastikan rakyat menyedari sepenuhnya inisiatif berhubung perkara itu sekali gus menjadi celik digital serta celik kecerdasan buatan (AI).

“Kita tidak ada pilihan selain memastikan rakyat menyedari sepenuhnya apa yang saya sebut sebagai celik digital dan celik AI,” katanya.

AI Untuk Rakyat adalah program pembelajaran kendiri dalam talian yang direka untuk meningkatkan pemahaman dan kesedaran orang ramai terhadap AI.

Sektor digital Malaysia dilapor memberikan sumbangan yang signifikan iaitu 23.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Sementara itu, impak ekonomi digital dijangka terus meningkat dan diunjurkan menyumbang sebanyak 25.5 peratus kepada ekonomi negara pada 2025 serta mewujudkan hingga 500,000 peluang pekerjaan.

Program pengetahuan asas tentang AI terbuka untuk semua lapisan rakyat Malaysia yang dilaksanakan secara percuma dalam bahasa Malaysia, Inggeris, Mandarin dan Tamil.

Program tersebut mengandungi dua modul iaitu AI Aware dan AIAppreciate yang mana memberikan pendekatan pembelajaran kendiri yang anjal.

Rakyat boleh melayari www.AI.gov.my dan program itu boleh dilengkapkan mengikut tahap kelajuan masing-masing atau boleh juga dihabiskan dalam masa empat jam jika dibuat secara terus menerus.

Perdana Menteri menegaskan AI untuk Rakyat adalah satu lagi inisiatif kerajaan untuk mendekatkan jurang literasi digital di kalangan rakyat Malaysia.

Menurutnya, kerajaan maklum mengenai kebimbangan kesan negatif penggunaan AI ini namun percaya ia tidak menghakis nilai manusiawi jika rakyat mempunyai kekuatan nilai jati diri.

“Kebimbangan yang sama pernah berlaku ketika mula-mula komputer diperkenalkan kepada rakyat dalam tahun 80-an.

“Saya masih ingat tahun 80-an semasa mahu mempopularkan komputer di seluruh negara banyak pertimbangan tentang bahan yang mungkin dikompromi tentang akhlak, pornografi dan sebagainya.

“Jadi, saya fikir bagaimana hendak tarik minat masyarakat di kampung, saya bawa komputer ke masjid.

“Saya tanya imam nak baca surah apa dan saya klik surah al-Baqarah. Itu antara cara saya nak yakinkan masyarakat.

“Kini keadaan sudah berubah. Kebimbangan 80-an tidak sangat merunsingkan pada tahun 2024,” katanya.

Bagi golongan pelajar, program ini dapat memberikan gambaran asas tentang dunia AI yang bertujuan untuk menarik minat mereka untuk menceburi dan seterusnya membina kerjaya dalam sektor ini.

Untuk golongan masyarakat yang lain, program ini dapat memberikan fahaman asas tentang AI agar lebih faham yang ia adalah sebuah teknologi yang boleh membawa manfaat yang besar kepada individu, masyarakat dan seterusnya negara.