Sudah 7 bulan sejak PM luluskan, apa UMS buat dengan RM3 juta?
Sejak Perdana Menteri meminta agar laporan penelitian dikemukakan berkaitan peruntukan segera RM3 juta yang diberikan tahun lalu bagi mengatasi masalah air di Universiti Malaysia Sabah (UMS), timbul tanda tanya ramai berkenaan ke mana wang itu telah dibelanjakan.
Jika dikira-kira, Perdana Menteri telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM3 juta sejak lapan bulan lalu iaitu pada penghujung bulan Mei 2023 bagi membuka tiga projek penggerudian air bawah tanah dan pusat rawatan air bawah tanah di UMS.
Justeru itu, apabila para pelajar UMS terpaksa menzahirkan kesusahan mereka untuk mendapatkan air di kampus, ia bukan sahaja menyinggung hati Perdana Menteri, bahkan menyinggung hati ramai.
Di media sosial, isu ini terus menjadi bualan ramai berikutan ia bukan sahaja membabitkan isu air, tetapi isu keselamatan dan kebajikan mahasiswa yang terpaksa ke dobi selama berbulan-bulan untuk mencuci pakaian.
Ada juga pengadu melaporkan, isu keselamatan sudah menjadi isu mingguan di kampus itu berikutan ada pelajar yang berdepan kes gangguan seksual semasa menaiki Maxim (syarikat perkhidmatan alternatif selain Grab dan MyCar) ke dobi.
Ramai juga tidak tahu ke mana sebenarnya peruntukan RM3 juta yang diperuntukkan kerajaan sehingga mahasiswa terpaksa berdepan dengan masalah air paling teruk kali ini.
Penjelasan UMS
Susulan kekecohan berlaku, UMS pada 12 Januari lalu tampil mengeluarkan kenyataan, menjelaskan bahawa peruntukan RM3 juta telah digunakan untuk membina enam telaga tiub dan memasang enam sistem paip.
Naib Canselor Kasim Mansor berkata, satu telaga tiub dan satu sistem paip sudah digunakan, menghasilkan 150,000 liter air sehari.
Kasim berkata, baki telaga dan sistem paip akan beroperasi menjelang Mac.
“Kami harap orang ramai tidak membuat spekulasi tentang bagaimana (peruntukan) RM3 juta itu digunakan. Saya jamin, wang itu bukannya hilang atau digunakan secara tidak wajar,” katanya.
Pada masa sama, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, tiada sebarang unsur ketirisan atau kegagalan pematuhan tatakelola dalam penggunaan peruntukan RM3 juta yang diumumkan Perdana Menteri.
Ini kerana menurutnya, peruntukan itu diurus oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM), manakala UMS hanya sebagai pelaksana.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir pula berkata, kerja-kerja pembinaan telaga tiub di UMS bagi mengatasi isu bekalan air yang berlarutan sejak tiga tahun lalu dijangka siap sepenuhnya pada Mac depan.
Setakat ini pihaknya dimaklumkan projek itu telah pun berada dalam fasa pemasangan tiub di beberapa lokasi yang dikenal pasti mempunyai bekalan air.
BACA JUGA Gelar agensi kerajaan ‘barua’, Saifuddin beri peringatan keras pada Sanusi