TPM harap agensi tunggal kawal sempadan beroperasi segera

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap agensi tunggal yang mengawal selia sempadan negara, (MCBA) dapat beroperasi segera demi memelihara keselamatan dan kedaulatan negara.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan sentiasa mengutamakan rakyat dalam apa jua perkara, termasuk isu berkaitan kehadiran pelarian dan pemohon suaka yang sentiasa berada dalam radar kerajaan untuk ditangani.

“Soal keselamatan negara, kita tidak boleh dikompromikan dan dimanipulasikan oleh mana-mana pihak.

“Saya menggesa semua entiti kerajaan untuk melaksanakan penyelarasan dan penyesuaian terhadap mekanisme perundangan sedia ada agar terus dipatuhi oleh semua yang berada di negara ini,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.

Perkara itu antara inti pati Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Pengurusan Pelarian dan Pemohon Suaka (JTPPPS) Bilangan 1 Tahun 2024 yang dipengerusikan oleh Ahmad Zahid.

Ahmad Zahid berkata, mesyuarat itu diadakan, antara lain bagi meneliti keputusan serta mengemas kini pelaksanaan gerak kerja oleh kementerian, jabatan dan agensi utama yang terlibat mengenai pelarian.

Untuk rekod, antara jabatan atau agensi yang terbabit dalam menjaga pintu sempadan negara ialah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Farmasi dan lain-lain agensi.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Jabatan Peguam Negara (AGC) sedang merangka Rang Undang-Undang (RUU) penubuhan agensi tunggal kawalan negara (SBA).

Katanya lagi, Kabinet sudah merestui cadangan menubuhkan entiti baharu SBA yang akan memakai satu nama dan seterusnya beroperasi sebagai satu agensi kawalan sempadan baharu dengan RUU mengenai dijangka dibentangkan di Parlimen pada suku pertama tahun ini.

Dalam Belanjawan 2024 dibentang Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penubuhan SBA sebagai sebahagian daripada inisiatif memperkukuh tahap kesiapsiagaan pertahanan dan keselamatan negara.

Terdahulu, Saifuddin dilaporkan berkata, inisiatif SBA yang dirancang sejak 2018 bagi menyatukan lebih 20 agensi penguat kuasa di 141 pintu masuk, antaranya Jabatan Imigresen, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).