Warga asing dibenar tukar majikan jika tak disediakan kerja

Pekerja asing dibenarkan untuk bertukar majikan bagi memenuhi keperluan dalam sektor tertentu, khususnya pertanian dan perladangan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata kaedah itu dipersetujui Jawatankuasa Bersama Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing.

“Itu kaedah kita guna pakaiā€¦ majikan dah bawa (masuk pekerja asing) kemudian dia tak boleh adakan pekerjaan.

“Opsyen penghantaran pulang (pun) tak boleh kerana apabila kita hantar (pekerja asing pulang), dah masuk kategori buruh paksaā€¦ itu akan beri kesan kepada rating kita.

“Jawatankuasa dalam dua mesyuarat terdahulu, kertas dibentang Jabatan Tenaga Kerja (Semenanjung Malaysia) membolehkan dibuat proses pertukaran majikan kerana majikan dah bawa masuk dan terang-terang dia tak boleh sediakan pekerjaan, jadi kita benarkan pertukaran majikan dibuat membabitkan pekerja,” katanya.

Saifuddin berkata demikian ketika sidang media bersama Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu di kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, biarpun kaedah penukaran majikan itu dibenarkan, proses dan prosedur sewajarnya tetap perlu dipatuhi.

Ditanya mengenai isu kekurangan pekerja dalam sektor pertanian dan perladangan, Saifuddin berkata, beliau sudah bertemu Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani bagi mendapatkan gambaran sebenar.

“Pagi tadi ada pertemuan dengan Datuk Johari (untuk mendapatkan) gambaran tepat supaya mesyuarat hari ini dapat memudah cara sektor pertanian (kerana) fungsi jawatankuasa ini adalah apa-apa syor kita buat, mestilah ke arah menyelesai dua perkara ini.

“(Jadi) antara kaedah diguna pakai kita melaksanakan izin pertukaran majikan yang bila dibawa oleh satu sektor (dan) sektor itu sudah penuh, maka kita benarkan pertukaran majikanā€¦. (itu) antara syor diangkat jawatankuasa (ini),” katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, jawatankuasa terbabit mencadangkan untuk melaksanakan semula program rekalibrasi penghantaran pulang warga asing selepas dihentikan sejak tahun lalu.

Bagaimana, katanya, perkara itu tertakluk persetujuan Jemaah Menteri.

“Kita akan cadangkan satu tarikh kepada Jemaah Menteri, semestinya mereka (warga asing tinggal lebih masa) akan dikenakan kompaun dan sebagainya, kita akan teliti perkara itu bergantung kepada proses permohonan yang kita terima.

“Ini juga langkah maklum balas daripada kedutaan dari negara sumber, mereka mengesyorkan supaya ruang untuk penghantaran pulang rakyat mereka itu dibuka kembali,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, jawatankuasa terbabit bersetuju memendekkan tempoh proses permohonan dan kemasukan pekerja asing daripada 29 bulan tiga hari kepada 15 bulan 23 hari, membabitkan pengurangan signifikan 46 peratus.

“Bagaimana boleh dipendekkan? Sebagai contoh dengan memendekkan tempoh bayaran levi daripada 30 hari kepada 15 hari, termasuk tempoh mengeluarkan pas lawatan kerja sementara (PLKS) dan proses berkaitan.

“Selain itu jawatankuasa ini bersetuju meneliti semula memorandum persefahaman (MoU) dengan negara sumber (tenaga kerja) bagi meneroka semula perjanjian dengan negara sumber merangkumi perkara seperti yuran, kos, syarat kontrak dan kesihatan,” katanya lagi.