Dua pusat rehablitasi Perkeso bakal dibuka

Dua pusat rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bakal dibuka iaitu di Ipoh, Perak yang akan beroperasi pada tahun ini dan di Terengganu sedang dalam pembinaan.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong menyarankan Perkeso menubuhkan tiga lagi pusat rehabilitasi baharu dalam tempoh lima tahun akan datang.

Beliau berkata, ini memandangkan terdapat hanya sebuah pusat rehabilitasi yang beroperasi ketika ini iaitu Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak di Ayer Keroh di Melaka.

“Saya juga nak lihat dalam tempoh lima tahun lagi ada tiga pusat rehabilitasi baharu termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Kita nak lihat supaya kita (Perkeso) boleh kembangkan perkhidmatan ini (di seluruh negara).

“Perkeso bukan sahaja memberi perlindungan dalam bentuk pampasan tetapi satu perlindungan lebih menyeluruh termasuk rehabilitasi,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak di Ayer Keroh.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwee Hee Sem dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Steven berkata, Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak telah memberikan perkhidmatan kepada lebih 15,000 pencarum sejak beroperasi pada 2014.

Perkhidmatan sama juga diberi kepada bukan pencarum Perkeso untuk menjalani pemulihan akibat terlibat kemalangan atau sakit ketika bertugas.

Beliau berkata daripada jumlah tersebut, kira-kira 70 peratus berjaya kembali ke tempat kerja selepas menjalani rawatan pemulihan intensif.

Tambahnya, pusat rehabilitasi itu juga menerima pesakit dari luar negara yang menjalani rawatan di fasiliti itu kerana tertarik dengan kemudahan yang ditawarkan.