Empat menteri Cina ini sangat ‘perform’

Oleh NORMAN RADZUAN

Saya tidak boleh menipu dan tanpa prejudis untuk mengatakan empat Menteri Kabinet berketurunan Cina dalam Kerajaan Perpaduan iaitu Steven Sim, Anthony Loke, Hannah Yeoh dan Nga Kor Ming sangat perform.

Malah, Sultan Johor dan TMJ sendiri memuji Menteri Anthony Loke dan Hanna Yeoh. Jika saya ditanya 10 Menteri terbaik, top 5 adalah keempat-empat mereka ini.

Empat Menteri berbangsa Cina ini mempunyai daya fikiran jauh ke hadapan atau berwawasan. Gaya kerja mereka sangat efektif, agresif dan proaktif.

Ada sahaja mereka lakukan yang tidak terfikir oleh kita lakukan sebelum ini. Untuk Menteri berbangsa Cina Kerajaan Perpaduan, saya memilih YB Steven Sim yang terbaik.

Lalu saya tertanya-tanya kenapa sebahagian orang Melayu bencikan kaum Cina? Kebencian ini semakin menjadi-jadi apabila pembangkang era sekarang menjadikan perkauman sebagai modal politik menghasut pemikiran orang Melayu menyokong mereka.

Kebencian itu ada yang berbentuk ekstrem hingga membawa kelucuan. Fitnah paling teruk terhadap orang Cina apabila jeruk masin dikatakan tahi hidung Cina. Masa sekolah rendah dulu, saya antara yang percaya fitnah itu.

Apabila dah dewasa lucu bila terfikir, bagaimanalah pengilang terpaksa tunggu uncle-uncle Cina korek hidung untuk pasarkan produk mereka.

Anthony Loke

Ubah perangai

Pendeta Za’aba ((1895–1973) merupakan insan yang saya kagumi dan banyak mengenalinya melalui penulisan beliau.

Beliau sangat patriotik kepada bangsanya sendiri dan paling penting buat saya beliau sangat genius.

Beliau menjadi pencetus pada peletakan asas sistem bahasa Melayu baharu, sama ada dari sudut ejaan, tatabahasa mahupun retorik.

Namun, jika kita membaca buku penulisannya, beliau tidak pernah mengkritik bangsa Cina tetapi mengkritik bangsanya sendiri.

Beliau sangat positif dengan mengajak orang Melayu berfikir di mana kelemahan bangsa ini sebelum menyalahkan org lain.

Zaaba berkata, rupa tidak boleh diubah tetapi perangai boleh. Perangai orang Melayu bergantung kepada diri sendiri yang juga menjadi tajuk buku popularnya. Orang lain tidak mampu mengubahnya melainkan diri sendiri.

Kita lihat bangsa Cina berjaya tetapi mengapa kita tidak mahu melihat bagaimana mereka berjaya. Mereka bekerja kuat, berani serta berfikir di luar kotak.

Hannah Yeoh

Rajin bekerja

Pemilik Genting contohnya, mendiang Tan Sri Lim Goh Tong pernah dikatakan gila apabila ingin membina hotel di atas puncak Gunung Tahan. Akhirnya, kegilaannya itu beliau menjadi ‘bilionair’.

Saya pernah belajar di Sekolah Anglo Chinese School. Saya melihat ada kawan Cina yang nakal dan ada yang baik. Ada yang kaya dan ada yang miskin. Ada yang pandai atau tercorot keputusan peperiksaan di dalam kelas.

Maksudnya, mereka juga manusia biasa seperti orang Melayu. Bezanya bangsa Cina ini terkenal dengan sikap rajin bekerja.

Tapi kenapa kita anti dengan bangsa ini seolah-olah mereka menyebabkan orang Melayu mundur. Sedangkan bukan sahaja bangsa Cina tetapi bangsa India juga telah mengubah nasib hidup mereka jauh lebih baik daripada bangsa Melayu.

Buku Za’ba atau nama sebenarnya Zainal Abidin bin Ahmad ini diterbitkan setelah lapan tahun beliau meninggal dunia pada usia 78 tahun.

Dari kehidupan di estet getah, bangsa India menguasai bidang guaman. Malah, profesion sebagai doktor dalam kalangan bangsa India semakin ramai. Mereka keluar dari zaman kegelapan sebagai pekerja buruh kepada bidang pekerjaan profesional.

Saya tidak menafikan bangsa Cina jauh lebih maju daripada orang Melayu terutama daripada segi ekonomi. Namun, adakah disebabkan itu kita terpaksa memusuhi mereka.

Apakah orang bukan Melayu yang mahu dipersalahkan menyebabkan orang Melayu tidak sehebat kaum lain di negara ini?

Steven Sim

Kadang-kadang saya bersetuju dengan Tun Dr Mahathir yang menegur sikap orang Melayu seperti teguran Abdullah Mursyi dan Za’aba.

Adakah kita perlu menjadi Za’aba mengkritik bangsa kita sendiri dahulu untuk mengubah nasib kaum ini.

Soalnya, mengapa orang Melayu masih ketinggalan?

Henti menyalahkan

Parti-parti politik Melayu sering menggunakan slogan atau konsep ‘ketuanan Melayu’ sedangkan orang Melayu jauh lebih mundur daripada kaum lain di negara ini.

Kita terpekik dan terlolong, ‘Hidup Melayu, Hidup Melayu’ kemudian kita mengatakan bahawa kaum Cina adalah pendatang.

Persoalannya, adakah kita akan maju dan berjaya dengan hanya melaungkan hidup Melayu dan Cina pendatang? Perlu diingat mereka bukan pendatang tetapi rakyat Malaysia yang sah.

Slogan ‘Hidup Melayu’ dan ‘Cina Pendatang’ ini tidak akan mengubah kedudukan orang Melayu yang masih mundur ini. Jangan ambil jalan pintas dengan menyalahkan orang atau bangsa lain.

Za’aba tidak menyalahkan orang Cina seperti biasa disuarakan oleh para pejuang atau politikus Melayu.

Malah, beliau menyeru supaya orang Melayu mencontohi gaya kerja dan kehidupan orang Cina yang menyebabkan mereka maju.

Nga Kor Ming

Za’aba seolah-olah memberitahu kita perangai orang Melayu memang terkenal suka berhasad dengki.

Dia malas bekerja tetapi jika orang lain berjaya dia akan hasad dengki walaupun sesama kaum malah dalam keluarga sendiri juga berlaku.

Dalam beragama, Za’aba sangat benci dengan sikap orang Melayu yang mudah taklid buta kepada apa yang didengar.

Tidak mahu berfikir apa yang diajar adakah benar atau tidak. Za’aba mengkritik pengajaran agama yang mengumpan pahala syurga.

Pendek kata, kita kena lihat kelemahan diri kita sendiri. Orang Melayu ada duit sedikit berkereta besar, melancong sana sini dan terpaling ‘show off’ kekayaannya di media sosial.

Namun, apabila jatuh susah mulalah merayu meminta tolong untuk membantunya. Padahal, ketika senang dia tidak pernah beringat untuk menabung jika berlaku kesusahan. Ini sikap orang Melayu yang terkenal ‘biar papa asal bergaya.’

Sedangkan begitu ramai jutawan hebat berbangsa Cina melindungi kekayaan mereka. Pakaian ringkas sahaja tetapi wang berjuta di bank. Itu beza Cina yang sangat kaya dengan Melayu yang acah-acah kaya.

Jadi, cukup-cukuplah mengkambing hitamkan orang Cina dan ahli politik mereka hanya kerana kerakusan kita dan kelemahan kita menguruskan negara atau negeri.

Yang berikan tanah-tanah berpuluh ribu ekar itu bangsa Melayu. Yang begitu banyak dijatuhkan hukuman rasuah adalah bangsa Melayu.

Yang berikan ribuan tanah Musang King dan hutan pembalakan itu adalah bangsa Melayu. Ya, mudah ada kuasa ambil rasuah tidak berpeluh-peluh bekerja untuk kaya.

Ingat bangsaku, ‘Jangan kita yang malas bekerja dan berusaha untuk kaya, lalu kita makan rasuah. Jangan kerana kita yang malas bekerja kita salahkan ‘Cha Ya Nun Alif’.