Farik, Nazir ditahan di Guantanamo mengaku bersalah bersubahat

Dua rakyat Malaysia mengaku bersalah semalam atas pertuduhan bersubahat dalam pengeboman Bali pada 2002.

Mohammed Farik Amin, 48, dan Mohammed Nazir Lep, 47, ditahan di Kem Tahanan Teluk Guantanamo di Cuba sejak 2006.

Kedua-duanya, lapor The New York Times didakwa pada 2021 iaitu 18 tahun selepas mereka ditahan di Thailand.

Susulan itu, hukuman terhadap kedua-dua defendan yang telah ditahan selama bertahun-tahun dalam rangkaian penjara luar negara rahsia Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA), akan dijatuhkan pada minggu depan.

Pada 2006, mereka dipindahkan ke Teluk Guantanamo untuk menghadapi perbicaraan di mahkamah khas keselamatan negara yang ditubuhkan bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), George W Bush selepas serangan 11 September 2001.

Turut didakwa Encep Nurjaman yang juga dikenali sebagai Hambali dari Indonesia.

Namun, Farik dan Nazir, lapor New York Times pada Oktober lalu, telah mencapai persetujuan dengan pendakwa raya di Teluk Guantanamo untuk tuduhan menjadi ‘aksesori’ kepada serangan pengganas di Bali.

Pengeboman kelab malam di Denpasar, Bali pada Oktober 2002 telah mengorbankan 202 orang.

Oleh itu, kes mereka diasingkan daripada kes Hambali yang kini menghadapi pertuduhan membunuh, melakukan keganasan dan konspirasi dalam insiden pada 2002 dan 2003.

Jika disabitkan bersalah, Hambali boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup.

Dalam pengakuan bersalah itu, Farik dan Nazir bersetuju untuk memberi keterangan terhadap Hambali, bekas pemimpin gerakan Jemaah Islamiyah, menurut laporan itu.

Pada 2018, kedua-dua mereka didakwa dengan sembilan kesalahan yang dikaitkan dengan pengeboman kelab malam di Bali pada 2002 yang mengorbankan 202 orang dan pengeboman sebuah hotel yang meragut 11 nyawa pada 2003.