Kenaikan tarif air mulai 1 Februari masih rendah
Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memaklumkan tarif baharu air naik secara purata 22 sen bagi setiap meter padu bagi kategori domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan mulai 1 Februari ini.
Walau bagaimanapun, kata SPAN menerusi kenyataan hari ini, kenaikan tersebut masih rendah dan tidak dapat menampung kos sebenar penyediaan perkhidmatan bekalan air sebanyak RM1.75 bagi setiap meter padu berdasarkan rekod sebenar 2022.
Menurutnya, pelarasan tarif air ini akan dilaksanakan mengikut Mekanisme Penetapan Tarif (TSM) bagi pengguna kategori domestik.
Berdasarkan TSM, struktur dan komponen tarif akan diseragamkan untuk negeri di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Tarif air pula, mengikut TSM, akan dikaji semula setiap tiga tahun untuk memastikan keselarasan dalam penentuan bayaran.
“Pelarasan tarif air bagi kategori domestik tidak lagi boleh ditangguhkan supaya tidak menjejaskan kemapanan industri perkhidmatan air dalam jangka panjang sekali gus memberi impak kepada kualiti perkhidmatan bekalan air yang dinikmati rakyat.
“Namun, kenaikan ini masih rendah dan tidak dapat menampung kos sebenar penyediaan perkhidmatan bekalan air sebanyak RM1.75 bagi setiap meter padu berdasarkan rekod sebenar 2022,” kata SPAN.
Bagi meminimumkan kesan kenaikan ke atas bil air bulanan rakyat, SPAN menyarankan supaya operator bekalan air di negeri masing-masing meneruskan inisiatif sedia ada iaitu memberikan bantuan kepada pengguna domestik secara bersasar seperti pemberian rebat kepada golongan B40.
Dalam masa sama, SPAN menyeru semua pengguna untuk bersama-sama mengamalkan penggunaan air secara berhemat.
Antaranya, menggunakan produk cekap air di bawah Skim Pelabelan Produk Cekap Air oleh SPAN serta memeriksa dan membaiki sebarang kebocoran paip dan pili air di premis masing-masing.
Selain itu, pengguna juga disaran memasang sistem penuaian air hujan dan penggunaan air kitar semula sebagai sumber air alternatif untuk kegunaan bukan minuman.
SPAN mengawal selia industri air dan pembetungan di Semenanjung Malaysia, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan berdasarkan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655). Pengawal seliaan oleh SPAN merangkumi aspek ekonomi, teknikal dan sosial.
SPAN mengawal selia entiti dalam industri perkhidmatan air dan pembetungan.
Ini termasuklah operator perkhidmatan bekalan air dan pembetungan, kontraktor bagi bekalan air dan pembetungan serta pemegang permit yang menjalankan kerja-kerja berkaitan air dan pembetungan serta pembekal bagi produk dalam industri perkhidmatan air.
Â