Kontroversi Mentega Terbang: Penerbit, pengarah filem didakwa hari ini

Penerbit dan pengarah filem kontroversi ‘Mentega Terbang’ dijangka berdepan pertuduhan di dua Mahkamah Majistret berasingan hari ini.

Berdasarkan sistem mahkamah, penerbit filem itu, Anomalist Production dan Meng Kheng Entertainment akan didakwa di hadapan Majistret, Aina Azahra Arifin.

Sementara itu, pengarahnya, Khairil Anwar di Majistret, Noorelynna Hanim Abd Halim mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan.

Tahun lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan penayangan ‘Mentega Terbang’ yang antara lain memaparkan seorang bapa membenarkan anaknya keluar dari Islam dan memeluk agama lain.

Keputusan itu berdasarkan warta bertarikh 1 September 2023 yang ditandatangani Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada 21 Ogos tahun yang sama.

Mengikut warta berkenaan, larangan itu dibuat menerusi Perintah Penapisan Filem (Larangan) 2023 turut mencakupi larangan pempameran, pengedaran, pemilikan, penyebaran atau penjualan filem.

“Menteri melarang penayangan, pameran, pengedaran, pemilikan, penyebaran atau penjualan filem yang diperihalkan dalam jadual bertentangan dengan kepentingan awam di seluruh Malaysia.

“Bagi maksud perintah ini, filem yang disebut dalam sub perenggan, hendaklah termasuk bahan publisiti filem itu,” menurut warta itu.

Filem Mentega Terbang jelas menghina agama Islam apabila memaparkan watak utama bernama Aisyah mencadangkan ibunya supaya menukar agama supaya terjadinya reinkarnasi atau kelahiran semula.

Aisyah juga tanpa berselindung meminta daging babi daripada rakan bukan Islamnya untuk dimakan selain babak mempermainkan Shahadah.

Sedutan babak tular itu kemudian mengundang marah masyarakat Islam yang mempersoalkan bagaimana filem itu dibenarkan untuk tontonan umum.