Pemukiman jemaah menteri dengan pelbagai matlamat

Pemukiman anggota Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan bersama 15 jemputan khas selama dua hari bermula hari ini di Cyberjaya diadakan untuk mencapai beberapa matlamat selain penyampaian mandat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Di samping itu, program juga bertujuan bagi mencapai penjajaran matlamat, serta mewujudkan rasa kebersamaan dan kesatuan dalam kalangan anggota jemaah menteri terhadap pelan tindakan kerajaan yang bersepadu dan tuntas berteraskan konsep ‘whole of government’ dan ‘whole of nation.’

“Program pemukiman kali ini juga membawa matlamat memantapkan sinergi dan kerjasama Jemaah Menteri bersama kepimpinan perkhidmatan awam serta memberdaya iltizam dalam melaksanakan pelan-pelan tindakan dengan fokus pelaksanaan untuk merealisasikan ekonomi MADANI,” kata Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan media hari ini.

Sesi kali ini melibatkan 31 anggota Jemaah Menteri.

Antara perkara – perkara yang dibincangkan ialah isu ekonomi, kebajikan dan keselamatan sosial, infrastuktur dan kemampanan dan sebagainya.