Pemukiman PM, Jemaah Menteri tumpu ikhtiar lonjak ekonomi

Sesi pemukiman kali kedua melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama barisan Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan hari ini akan memberi tumpuan kepada mencari ikhtiar baharu untuk melonjakkan ekonomi negara.

Perdana Menteri berkata permukiman itu juga akan meneliti pelaksanaan dasar-dasar yang telah dilancarkan kerajaan sepanjang tahun lalu.

“Kita akan lihat juga ke hadapan ini, apa lagi pelaksanaan dasar yang boleh bawa kita terus maju ke hadapan, apa langkah-langkah spesifik yang diperlukan.

“Kita sudah ada prakarsa (inisiatif) dari segi peralihan tenaganya (Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara), transformasi digitalnya, pelaburan tetap dan kita nak cari benda baharu untuk tingkat kekuatan negara,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian selepas menyempurnakan pelancaran Program AI Untuk Rakyat di Universiti Putra Malaysia (UPM) semalam.

Dalam masa sama, Anwar berkata usaha untuk menoktahkan kemiskinan tegar akan terus diberi tumpuan bagi memastikan tiada negeri tercicir daripada ikhtiar berkenaan.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata satu sesi pemukiman Perdana Menteri bersama barisan Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan akan diadakan selama dua hari di Cyberjaya bermula hari ini.

Sesi pemukiman pertama Perdana Menteri bersama Jemaah Menteri berlangsung di Putrajaya pada Januari tahun lalu antara lain membincangkan soal hala tuju dan penetapan petunjuk prestasi utama (KPI) setiap kementerian di dalam Kerajaan Perpaduan.