Sakit disengat obor-obor, rupanya ini sebab tentera ini berani terjun menyelamat
Sakit di belakang badan akibat disengat obor-obor dan cedera di kaki.
Itu dialami seorang anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) selepas terjun menyelamatkan dua individu terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang, 15 Januari lalu.
Aksi anggota yang bertugas di Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD), Koperal Mazlan Abdul Rahman berkenaan terjun dari jambatan itu tular dan mendapat pujian orang ramai.
Mazlan memberitahu, beliau ketika itu baru sahaja selesai bertugas di Kem Sungai Ara dan mahu pulang ke rumahnya di Sungai Petani, Kedah, dengan menaiki motosikal.
Lapor Harian Metro, ketika di pertengahan Jambatan Pulau Pinang, beliau melihat orang ramai berkumpul di bahu jalan.
Mulanya, bapa kepada dua anak itu menyangka berlaku kemalangan sebelum menyedari terdapat lelaki dan wanita terjatuh dari jambatan itu.
“Mungkin Allah SWT gerakkan hati saya untuk terjun bagi menyelamatkan mangsa lelaki yang terapung serta dalam keadaan stabil, walaupun cedera di kepala.
“Keadaan memang gelap selain arus laut kuat dan banyak obor-obor.
“Kemudian, saya selamatkan mangsa wanita yang terkapai-kapai minta pertolongan sebelum menarik mereka bagi berpaut pada tembok berhampiran tiang jambatan.
“Saya tidak dapat mengangkat mangsa ke atas tembok kerana ia terlalu tinggi.
“Kami bertiga hanya berpaut di tembok berkenaan selama hampir 20 minit, sementara menanti bantuan bot nelayan terdekat,” katanya ketika ditemu bual Harian Metro menerusi panggilan video di Kem Sungai Ara.
Selepas diselamatkan bot nelayan, Mazlan dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi menerima rawatan sebelum dibenarkan pulang pada jam 5 pagi semalam.
“Sewaktu kecil, saya pernah menyelamatkan abang daripada lemas dan kini ketika berkhidmat di TDM, saya adalah seorang jurulatih jasmani dan sukan.
“Saya pernah mengikuti kursus menyelamat serta menangani situasi seumpamanya dengan latihan di tempat setinggi 10 meter.
“Mungkin kerana itu saya ada keberanian bagi mempraktikkan kaedah berkenaan ketika kejadian,” katanya yang sudah 14 tahun berkhidmat dalam pasukan TDM.