Semua negeri tadbiran PN sokong kenaikan tarif air

Semua negeri tadbiran Perikatan Nasional (PN) telah menyokong kenaikan tarif air yang akan berkuatkuasa mulai 1 Februari.

Bahkan ke empat-empat negeri di bawah Pas inilah yang paling banyak berdepan dengan masalah air dan memerlukan kenaikan tarif bagi membolehkan syarikat pengurusan air mereka beroperasi dengan baik.

Kenaikan tarif air diketengahkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) hari ini.

Exco Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Hanafiah Mat berkata tarif air di negerinya paling rendah dan tidak pernah disemak sejak 26 tahun lalu.

“Selepas Syarikat Air Terengganu (Satu) ditubuhkan, syarikat berkenaan tidak pernah membuat semakan atau menaikkan kadar tarif air bagi pengguna domestik. Ia bererti kadar tarif domestik tidak berubah sejak 1997 hingga 2023.

“Bagaimanapun, Satu berhasrat mengemukakan permohonan pelarasan kadar tarif yang holistik untuk menampung peningkatan kos operasi dan kos pembangunan modal yang tinggi bagi memastikan keselesaan pengguna dapat ditambah baik,” katanya, lapor FMT.

Di Kedah pula, Syarikat Air Darul Aman (SADA) berkata kadar tarif baharu itu akan dikenakan kepada pengguna mulai pada bil Mac 2024, lapor Berita Harian.

Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) pula mengalu-alukan kenaikan tarif harga air kerana ia akan membantu meningkatkan kualiti perkhidmatan.

Pelarasan tarif berkenaan dapat menambahkan pendapatan untuk digunakan bagi operasi dan kerja-kerja pembangunan infrastruktur, naik taraf, baik pulih serta penyelenggaraan, kata pemangku pengurus besar AKSB Izani Ismail, lapor Sinar Harian.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur negeri Perlis, Izizam Ibrahim yakin kadar tarif baru akan membantu meningkatkan pendapatan Syarikat Air Perlis, lapor Kosmo.