Tiga fokus utama AMANAH penggal ini, kata timbalan presiden baharu

Terdapat tiga perkara utama yang akan difokuskan oleh AMANAH seusai mesyuarat agung tahunan yang dipanggil konvensyen dan juga sesi pemilihan untuk penggal 2024-2026.

“Kita sedia maklum keputusan pilihanraya dan trend semasa. Kami telah bermukim di Seremban untuk menetapkan hala tuju parti untuk sesi ini,” kata timbalan presiden AMANAH, Senator Datuk Seri Mujahid Yusof dalam satu temuramah eksklusif bersama Harapan Daily di ibu pejabat parti baru-baru ini.

“Pertama, pengukuhan parti di semua peringkat dari cawangan ke pimpinan pusat dan sistem yang dipakai. Kita perlu pastikan pengukuhan organisasi dijayakan dalam masa tiga tahun.

“Ini sangat penting untuk kita jadikan tapak yang kuat di peringkat akar umbi. Jadi, apabila AMANAH masuk bertanding nati kita sudah ada cawangan yang kukuh, kawasan yang mantap dan sayap-sayap yang belum ada.

“Semua itu kita akan tumpu dalam pengukuhan organisasi.”

Perkara yang ditumpukan juga adalah selaras dengan kehendak presiden parti, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Perkara-perkara ini juga penting kerana ini adalah penggal terakhir Mohamad sebagai pemimpin nombor satu parti dan perkara – perkara yang dilaksanakan ini akan menjadi warisan kepimpinan Mohamad dan juga penanda aras kepimpinan akan datang.

Keputusan pilihan raya dan trend semasa merujuk kepada kecenderungan pengundi Melayu di kawasan majoriti Melayu yang lebih cenderung menyokong parti pembangkang dan juga peralihan undi Melayu dari Umno kepada pembangkang.

Perkara ini dapat dilihat dalam keputusan pilihan raya enam negeri – Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.

Penjenamaan parti

Perkara kedua yang menjadi fokus AMANAH ialah penjenamaan agar parti ini boleh diterima secara meluas, terutamanya oleh pengundi Melayu.

“Fokus kedua menjenamakan AMANAH sebagai satu parti yang boleh diterima oleh orang Melayu, khususnya dan rakyat secara am.

“Penjenamaan melibatkan komunikasi dengan rakyat, media dan memperkenalkan amanah secara agresif dengan meletakkan cita-cita, misi dan sumbangan AMANAH kepada negara dan kita ada program besar-besaran ‘messaging’ kita kepada rakyat, jelas Mujahid.

Kongsi nilai bersama

Perkara ketiga pula perkongsian nilai bersama yang akan dilaksanakan seiring dengan pengukuhan dan penjenamaan.

Menurut Mujahid, nilai yang dikongsi bersama dari kepimpinan kepada ahli dan seterusnya kepada rakyat akan dilaksanakan.

“Parti tidak dapat ditonjolkan sebagai parti yang diterima sebagai aspirasi rakyat yang kukuh organisasinya kalau ahli-ahli tidak dibimbing dengan nilai – nilai yang dikongsi bersama iaitu yang diketengahkan kepada ahli kita – amanah, inklusif, progresif,kerjasama, muafakat, adil.

“Semua ini nilai yang mahu ditanam ke dalam ahli kita dalam program besar perkongsian nilai bersama yang akan dibuat menerusi program latihan, Akademi Kepimpinan Wawasan Amanah (Akwam). Seperti biasa ada program pencerahan – tanwir.”

Akwam telah pun dilancarkan dalam bulan Oktober tahun lalu di Sepang.