Anak Mahathir sah kena panggil SPRM
Anak Tun Dr Mahathir, Mirzan sah sudah dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam bagi membantu siasatan.
Menerusi kenyataan hari ini, SPRM berkata Mirzan hadir ke ibu pejabat di Putrajaya pada jam 9.30 pagi dan satu perintah notis disampaikan kepada beliau mengikut Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009.
Notis itu mengkehendaki ahli perniagaan berkenaan mengisytiharkan segala aset alih dan tidak alih yang berada di dalam pegangannya.
Pengisytiharan itu termasuklah aset sama ada di dalam atau di luar negara dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis tersebut.
“Perintah ini adalah tindakan lanjutan daripada siasatan SPRM berhubung maklumat dalam laporan Kertas Panama serta aktiviti perniagaannya yang membabitkan penjualan dan pembelian syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Siasatan dijalankan di bawah Akta SPRM 2009 juga Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA),” kata SPRM.
Dalam masa sama, SPRM memaklumkan siasatan dimulakan sejak Ogos 2022 terhadap semua entiti yang berkait dan dinamakan dalam laporan Kertas Pandora juga Kertas Panama.
“Sehingga kini, seramai 10 saksi dipanggil bagi tujuan dirakam pernyataan serta SPRM sedang mengkaji dokumen kewangan serta pemilikan aset entiti-entiti yang tersenarai dalam laporan itu dan siasatan masih giat dijalankan,” menurut kenyataan itu lagi.
Â