Anwar masih tidak ambil gaji, potongan gaji menteri diteruskan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal dengan pendiriannya sebelum ini bahawa tidak akan mengambil gaji bagi jawatan disandangnya sejak November 2022 itu selagi ekonomi negara tidak pulih sepenuhnya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, potongan gaji sebanyak 20 peratus kepada barisan jemaah menteri juga masih diteruskan.

”Setakat ini, saya umumkan saya tidak ambil gaji, dan potongan 20 peratus bagi yang lain (Jemaah Menteri) selagi ekonomi tidak pulih sepenuhnya… ada perubahan (ekonomi), tetapi belum boleh lagi (ambil gaji),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena program Permukiman Anggota Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan 2024 di ibu negara hari ini.

Untuk rekod, pada sidang media pertamanya sebagai Perdana Menteri pada 24 November 2022, Anwar berkata, beliau tidak akan mengambil gaji bagi jawatan itu dan menyifatkan ia sebagai langkah pertama bagi menarik keyakinan rakyat terhadap kepimpinannya.