Anwar terlalu kuat, Langkah Dubai gagal

Penulis blog kontroversi, Raja Petra Kamarudin tampil menegaskan bahawa pentadbiran Kerajaan Perpaduan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim terlalu kuat untuk dijatuhkan.

Dia juga berulang kali berkata, Langkah Dubai yang digerakkan pihak pembangkang bagi menjatuhkan Kerajaan Madani sebagai gagal.

“Anwar tidak boleh dijatuhkan.

“Langkah Dubai gagal walaupun mereka kata ada angka, dikatakan 120 ahli Parlimen (menyokong)… akan bertambah, naik lagi lebih 120…

“Langkah Dubai memang ada tetapi gagal. Usaha untuk menjatuhkan Anwar tidak berjaya.

“Memang ada usaha (menjatuhkan) tetapi tidak berjaya.” katanya menerusi rakaman video yang tular di media sosial.

Pengakuan Raja Petra itu selepas pengumuman Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain pada 15 Januari yang akan memanggilnya dan beberapa lagi individu.

Mereka dipanggil untuk dirakam keterangan berhubung Langkah Dubai.

Menegaskan lebih lanjut, Raja Petra berkata, blok pembangkang dalam keadaan lemah tanpa sokongan mencukupi untuk menumbangkan kerajaan pimpinan Anwar.

“Ini membuktikan Anwar kuat, pembangkang pula lemah.

“Anwar tidak dalam bahaya. Kedudukan Anwar tidak terancam. Pembangkang lemah dan tidak ada sokongan,” tambahnya lagi.

Razarudin pada sidang media, 15 Januari lalu berkata, Raja Petra yang berada di London bukan sahaja diperlukan dalam kes Langkah Dubai.

Malah, terdapat beberapa kertas siasatan polis turut pernah dibuka ke atas Raja Petra sebelum ini.