Danial harap pelajar sekolah bentang kertas kerja permohonan peruntukan

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Danial Al Rashid Haron berharap kertas kerja yang akan dibentang menerusi permohonan geran pendidikan tahunan di kawasan berkenaan, dapat dilaksanakan sendiri oleh pelajar terlibat.

Katanya, beliau berhasrat memperkenalkan kaedah penyediaan geran itu bertujuan memberi fokus kepada pembangunan pendidikan dan pada masa sama menjalin hubungan baik dengan pihak sekolah.

”Apabila difikirkan tentang masyarakat di sini (Batu Tiga), mereka tidak boleh lari daripada aspek pendidikan.

“Biasanya sistem pendidikan di sekolah-sekolah sudah baik, tetapi dari sudut infrastrukturnya mungkin terdapat sedikit masalah kerana kawasan sekolah sudah terlalu lama.

”Jadi, saya nak cuba bantu menerusi geran pendidikan. Kalau boleh kita bantu daripada sudut program dan jika ada perkara-perkara yang mahu dilaksanakan pihak sekolah, boleh datang jumpa saya tetapi tunggu sehingga permohonan dibuka.

”Saya juga mahu melihat apakah bentuk bantuan yang boleh saya berikan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) daripada segi pembangunan pelajar sama ada geran atau dana.

”Saya nak cuba menggalakkan pelajar-pelajar kalau boleh mereka turut terlibat sama dalam proses berkenaan,” katanya kepada Harapan Daily ketika diminta mengulas mengenai perancangan memperkenalkan geran itu bermula pada tahun ini.

Mengulas lanjut, Timbalan Ketua Pemuda AMANAH itu memaklumkan bahawa, beliau telah pergi ke beberapa sekolah menengah untuk membina hubungan dengan pihak sekolah dan pelajar.

”Saya cakap kepada pihak sekolah, boleh tak jika semua program yang nak dibuat itu, kertas kerjanya dibentang oleh pelajar sendiri. Sebagai contoh, pelajar Tingkatan 5 merancang mengadakan perkhemahan pengawas.

”Dari perancangan program itu, saya nak cuba beri ruang kepada pelajar (untuk bentang sendiri kertas kerja kepada saya).

“Pada masa sama, saya boleh ajar mereka bagaimana hendak membuat kertas kerja dan juga melihat proses permohonan.

”Ini kerana, pelajar-pelajar di sini mungkin mereka tiada pengalaman atau pengetahuan tentang penglibatan pihak kerajaan.

“Jadi, daripada situlah saya boleh berkongsi dengan mereka dan menyumbangkan sesuatu kepada masyarakat di kawasan saya,” ujar beliau lagi.

Danial menambah, di kawasannya terdapat 15 institusi pendidikan di bawah KPM merangkumi Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Kolej Vokasional.