JPJ pun tabik, rupanya ini sebab Aminah suka cermin sisi dan nombor plat bersaiz besar

Jarang atau mungkin belum pernah lagi kita dengar pengguna jalan raya menerima tabik daripada anggota polis atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Namun, tidak bagi penunggang motosikal dengan cermin sisi dan nombor plat bersaiz besar dari Taman Rasah Jaya, Seremban ini.

Pemilik skuter Yamaha Ego S, Siti Aminah Abdullah berkata, setakat ini beliau tidak berdepan masalah jika berdepan sekatan jalan raya sebaliknya malah dipuji anggota dan JPJ.

Aksi anak jati Ipoh, Perak itu yang menunggang motosikal dengan nombor pendaftaran bersaiz untuk lori itu tular di media sosial.

Rakaman video pertama tular di Tiktok pada September lalu dengan lebih 28,000 tanda ‘like’ dan yang terbaharu kelmarin dengan lebih 60,000 tanda ‘like’.

Kata Aminah, 49, dia bukan mahu mencari populariti atau perhatian sebaliknya video atau gambar yang tular di media sosial itu adalah hasil rakaman pengguna jalan lain.

“Kedua-dua video yang tular dirakam pengguna jalan lain dan saya tahu selepas dimaklumkan rakan serta saudara-mara.

“Saya tak kisah, cuma harap netizen tak tinggalkan komen menyakitkan hati atau mencemuh.

“Ini untuk kepuasan sendiri,” lapor Harian Metro.

Menurutnya, dia memang berulang-alik ke kios tempat berniaga di Stesen KTM Senawang, di sini, menggunakan skuter yang dibeli 14 tahun lalu itu.

“Kalau berhenti di lampu isyarat, pasti ada pengguna jalan tertumpu pada cermin sisi dan nombor pendaftaran skuter ini.

“Ada yang tanya, ada yang menegur dan ada juga berbisik sesama mereka. Malah, ada juga jadikannya bahan lawak jenaka. Saya tak peduli semua itu, asalkan saya selesa.

“Ada juga individu yang berswafoto dengan motosikal ini ketika saya parkir,” katanya.

Ujar Aminah lagi, suaminya, Abdul Karim Abu Bakar, 48, memang suka memasang cermin sisi serta nombor pendaftaran besar sejak zaman bujang.

“Cermin sisi itu sebenarnya dari lori 1 tan yang diubah suai suami dan dipasang pada motosikal ini yang dibeli pada 2010.

“Sejak itu memang skuter ini guna cermin sisi besar, baru-baru ini sahaja ia mula tular.

“Nombor pendaftaran juga memang saiz untuk lori, suami tempah di kedai dan pasang sendiri pada motosikal,” cerita Aminah lagi.

Â