Kes Sanusi patut dibicara hari ini tapi… – Apa kata Timbalan Pendakwa Raya?
Perbicaraan kes Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang didakwa mengeluarkan kenyataan menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan sepatutnya bermula hari ini tetapi telah ditangguhkan.
Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Datuk Masri Mohd Daud, berkata tindakan Menteri Besar Kedah itu memfailkan notis usul untuk menggantung perbicaraan tersebut bertujuan melengahkan prosiding itu.
Menurutnya, hal ini memandangkan tarikh bicara sudah dipersetujui kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan sebelum ini.
Bahkan, jelasnya, sejak Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu didakwa di mahkamah sama pada 18 Julai 2023 hingga pemfailan notis usul pada 11 Januari lalu, tiada permohonan untuk pemindahan kes difailkan oleh tertuduh.
“Tempoh enam bulan berlalu tanpa apa-apa tindakan diambil tertuduh.
“Pemfailan yang dibuat pada saat akhir setelah kes sudah menghampiri tarikh perbicaraan jelas menunjukkan tindakan tertuduh yang sengaja mahu melengahkan perbicaraan.
“Ini tanpa sedikit pun rasa hormat kepada tarikh perbicaraan yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak sebelum ini.
“Selain itu, pemfailan notis usul di Mahkamah Tinggi (Shah Alam) bukan sama sekali alasan yang patut dipertimbangkan untuk menangguhkan perbicaraan di Mahkamah Sesyen di sini,” katanya, lapor BH.
Dalam masa sama, Masri berkata, Sanusi berstatus ketua kerajaan negeri dan kes membabitkannya memang mendapat perhatian umum di seluruh negara, sekali gus memerlukan untuk pendengaran disegerakan.
“Apatah lagi, kes ini menyentuh Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu di Malaysia.
“Justeru, tiada sebab yang munasabah untuk perbicaraan di Mahkamah Sesyen ditangguhkan,” tegasnya.
Permohonan pemindahan
Terdahulu, Sanusi mengemukakan permohonan menerusi notis usul untuk memindahkan perbicaraan kes dihadapinya di Mahkamah Sesyen Selayang ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Semasa sebutan kes di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin, Sanusi juga meminta diberi kebenaran penggantungan perbicaraan di Mahkamah Sesyen di sini hingga permohonan pemindahan kes diputuskan Mahkamah Tinggi.
Permohonan mengikut Seksyen 417 (1) (a), (b) dan (e) Kanun Acara Jenayah (KAJ) itu atas alasan satu perbicaraan berpatutan dan saksama tidak dapat dijalankan di mana-mana mahkamah rendah daripada Mahkamah Tinggi.
Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pas Pusat itu berdepan dua pertuduhan menyebut perkataan menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor.
Satu lagi pertuduhan membabitkan penubuhan Kerajaan Perpaduan di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara, Kampung Bendahara, Gombak pada jam 11 malam, 11 Julai 2023.
Pendakwaan dibuat mengikut Perenggan 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama yang membawa denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Sementara itu, peguam Sanusi berkata, permohonan notis usul dibuat setelah mengkaji dokumen diserahkan pihak pendakwaan.
Antaranya, kata Awang Armadajaya Awang Mahmud, berkaitan titah Sultan Selangor dan beberapa fakta kes yang bukan sembarangan kerana membabitkan menteri besar serta institusi diraja.
“Notis usul menyentuh teras keadilan supaya Mahkamah Tinggi dapat menjalankan prosiding bebas dengan perkara yang boleh timbul nanti.
“Permohonan yang dibuat tidak remeh, tidak bersifat picisan dan bukan atas alasan lemah, tetapi menyentuh prinsip keadilan dalam perbicaraan jenayah,” katanya.
Nor Rajiah kemudian menetapkan 2 Februari depan untuk keputusan permohonan pembelaan bagi menggantung prosiding perbicaraan berkenaan dan mengecualikan tertuduh daripada hadir pada tarikh berkenaan.
“Ada tambahan tarikh bicara pada 11, 15 dan 18 Mac.
“Bicara pada 12 Februari pula dilapangkan kerana cuti umum ganti Tahun Baru Cina,” katanya sambil memaklumkan bicara pada hari ini, esok dan 12 Februari digantikan dengan tiga tarikh baharu pada Mac.
Sebelum ini, mahkamah sama menetapkan perbicaraan kes itu pada hari ini dan esok serta 5, 8, 9, 12, 13, 15, 16, 19, 22, 23 Februari.