Lebih 1.5 juta daftar padu selepas 2 minggu

Pendaftaran Sistem Pengkalan Data Utama (PADU) meningkat kepada 1.54 juta orang hari ini selepas dua minggu dilancarkan, menurut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Rafizi berkata, mulai minggu hadapan beliau akan turun padang untuk menggalakkan lebih ramai mendaftar PADU, terutamanya golongan berpendapatan rendah.

Ujarnya, selain dari tujuan utama untuk menentukan kelayakan penerimaan subsidi bersasar secara adil, PADU sebenarnya mempunyai peranan yang jauh lebih besar.

“Satu dari peranan besar ini ialah sebagai pangkalan data tulang belakang kepada pelaksanaan govtech.

“Govtech akan mengubah pengalaman rakyat berurusan dengan kerajaan – melalui pendigitalan, lebih cekap, lebih mudah, lebih canggih.

“Jadi, kita perlu menjayakan PADU. Sama-sama daftar secepat mungkin, jangan tunggu sampai 31 Mac 2024,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Mengikut data dikongsi laman rasmi PADU setakat semalam, rakyat Selangor merekodkan pendaftaran tertinggi iaitu 243,851 disusuli Sarawak (137,036) dan Johor (128,193).

Sistem PADU dibuka pendaftaran kepada rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas bermula 2 Januari lalu sehingga 31 Mac ini bagi membolehkan orang ramai mengemas kini serta mengesahkan 39 item maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan, bilangan isi rumah dan alamat.

Ia mengandungi profil individu dan isi rumah meliputi warganegara dan pemastautin tetap di Malaysia, merupakan pangkalan data sosio ekonomi negara yang bersepadu dengan menggabungkan data dari jabatan dan agensi kerajaan bagi memberikan gambaran seadilnya mengenai kedudukan sosio ekonomi setiap isi rumah rakyat Malaysia.

BACA JUGA Baddrol berang difitnah Harakatdaily, beri amaran saman jika tak padam