Politik Islam bukannya bermain sentimen seperti dibuat Pas, Bersatu
Rakyat di negara ini harus menyedari bahawa politik berbentuk kebencian bukan politik yang berlandaskan Islam,” kata Khalid Abd Samad.
Pengarah Komunikasi AMANAH itu berkata, rakyat mesti memahami bahawa politik kebencian banyak menghasilkan sesuatu yang memberi kesan negatif.
”Kesannya adalah seperti perbalahan, pergaduhan dan negara juga boleh berpecah-belah hasil daripada tindakan sebegitu rupa (politik kebencian).
”Kita kena sedar bahawa politik kebencian ini bukanlah politik Islam walaupun ianya parti Islam atau sebagainya, tetapi ia bukan politik Islam,” tegas beliau dalam rancangan temu bual secara atas talian di Jom Channel malam tadi.
Rancangan yang diberi nama ‘Bicara Hj Khalid Samad’ itu membincangkan tajuk ‘Politik Kebencian dan Molotov Cocktail?’
Mengulas lanjut, Khalid yang juga bekas Ahli Parlimen Shah Alam menyifatkan konsep politik Islam antaranya adalah berkaitan politik Rahmah.
”Bagi kami khususnya dalam AMANAH, politik Islam adalah politik yang berkonsepkan Rahmah, berakhlak dan politik yang menginginkan keadilan.
”Bukannya hendak bermain dengan sentimen seperti yang dilakukan oleh Pas dan Bersatu,” bidas Khalid terhadap parti pembangkang itu.
Â