Kerajaan Pahang pertimbang subsidi air untuk B40

Kerajaan Negeri Pahang sedang mempertimbangkan cadangan melaksanakan pemberian subsidi air kepada rakyat golongan B40 di negeri itu.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) dan pihak yang terlibat.

Jelasnya, bantuan subsidi dicadangkan bagi mengurangkan beban golongan tersebut susulan kenaikan tarif air di negeri itu yang akan bermula pada Februari nanti.

Menurutnya, pelaksanaan kadar tarif air baharu di Pahang dijangka naik dari 37 kepada 78 sen semeter padu setelah 40 tahun tidak ada sebarang kenaikan.

“Insya-Allah kita akan melihat kenaikan tarif ini di mana kemungkinan kita akan memberi sedikit subsidi atau bantuan kepada golongan B40 yang terlibat, sekarang perkara ini masih dikaji dan diperhalusi.

“Ia memerlukan sedikit masa kerana perkara ini baru diumumkan dan perbincangan dengan pihak-pihak berkaitan belum dimulakan,” katanya dipetik Malaysiagazette.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pahang Skills, E&P O&M Services Sdn Bhd dan Universiti Teknologi Petronas di Kuantan, hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, melalui tarif baharu itu dijangka akan memberi hasil kira-kira RM80 juta setahun kepada kerajaan negeri.

“RM80 juta itu jangkaan kita namun sekiranya subsidi diberikan mungkin jumlahnya menurun dari sasaran itu. Hasil air ini akan digunakan kembali untuk menaik taraf perkhidmatan air di negeri ini,” katanya

Terdahulu pelarasan tarif air yang akan dilaksanakan di bawah Mekanisme Penetapan Tarif bagi pengguna kategori domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan telah diumumkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memaklumkan tarif baharu air naik secara purata 22 sen bagi setiap meter padu bagi kategori domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan mulai 1 Februari ini.

Walau bagaimanapun, kata SPAN menerusi kenyataannya, kenaikan tersebut masih rendah dan tidak dapat menampung kos sebenar penyediaan perkhidmatan bekalan air sebanyak RM1.75 bagi setiap meter padu berdasarkan rekod sebenar 2022.