Tarif air Selangor naik 1 Februari depan

Caj minimum tarif baharu air bagi kategori domestik di Selangor akan beralih daripada RM6 kepada RM6.50 bermula 1 Februari depan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kenaikan tersebut melibatkan penggunaan meter padu air bagi setiap isi rumah.

”Bagi rumah yang menggunakan air hingga 20 meter padu (m3), kadar caj bagi
setiap meter padu akan beralih sebanyak 8 sen iaitu kepada RM0.65 bermula
daripada 0 meter padu sehingga 20 meter padu.

”Ini bermaksud, bagi rumah yang menggunakan air 20 meter padu dan ke bawah
setiap bulan, caj baharu akan meningkat maksima sekitar RM1.60 sebulan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam kenyataan sama, Ahli Parlimen Gombak itu memaklumkan bahawa penggunaan air 20 hingga 35 meter padu pula turut mempunyai kadar caj baharu yang akan beralih sebanyak 29 sen kepada RM1.32 bagi setiap meter padu.

”Ini bermakna, peningkatan keseluruhan bagi rumah yang menggunakan air sehingga 35 meter padu adalah maksimum sebanyak RM5.95 sebulan.

”Penggunaan air yang melebihi 35 meter padu, kadar caj baharu adalah sebanyak RM2.63 berbanding kadar lama iaitu RM2.00.

“Bagi kategori kondominium pula, caj minimum secara pukal akan kekal pada RM173 sebulan dan caj baharu beralih sebanyak 30 sen kepada RM1.68 bagi penggunaan setiap meter padu air,” katanya lagi.

Bagi estet dan kuarters kerajaan pula, Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua berkata, kadar caj baharu akan meningkat sebanyak 68 sen kepada RM1.68 dan caj minimum baharu adalah RM16.80 berbanding sebelum ini iaitu RM12.00 sebulan.

Katanya, kadar baharu bagi kategori rumah kos rendah adalah 98 sen bagi setiap meter padu air yang merupakan caj paling rendah.

Bagi kategori bukan domestik dan kategori khas pula membabitkan perusahaan komersial serta bangunan bukan domestik lain memperlihatkan peralihan kadar baharu kepada RM2.70 bagi penggunaan air sehingga 35 meter padu.

“Manakala penggunaan lebih daripada 35 meter padu dikenakan caj RM2.94 bagi setiap meter padu. Penggunaan air dalam kategori rumah ibadah dan institusi kebajikan diberikan kelonggaran caj dengan kadar rata dan paling rendah iaitu peningkatan 6 sen bagi setiap meter padu kepada 66 sen.

“Kerajaan negeri juga akan menanggung peningkatan bagi rumah-rumah ibadah dan rumah-rumah kebajikan di negeri Selangor dengan anggaran kos sebanyak RM2 juta,” katanya yang turut memaklumkan kadar baharu bagi kategori kapal juga akan beralih dari RM7 kepada RM7.08

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri berpendirian bahawa pelarasan ini akan menjamin kelangsungan dan membolehkan Air Selangor untuk mengelakkan isu paip bocor dan paip pecah dengan menggandakan kadar penggantian paip usang daripada 150 kepada 300 kilometer setahun bermula tahun ini.

Â