26 penjaja gerai singgang dipindahkan ke Medan Selera Singgang MADANI

Seramai 26 penjaja gerai singgang di Jalan Dewan Sultan Sulaiman 1, Kampung Baru telah dipindahkan ke lokasi baru – Medan Selera Singgang MADANI@Batu Bata, Titiwangsa.

Menurut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), menerusi satu kenyataan, kerja-kerja meroboh deretan gerai di Jalan Dewan Sultan Sulaiman 1 akan dilaksanakan pada 22 Januari.

Notis pemakluman pengosongan telah dikeluarkan sejak Oktober 2023.

Susulan itu notis peringatan telah dikeluarkan pada awal bulan ini.

Lokasi gerai baharu dilihat akan memberi lebih keselesaan kepada penjaja dan pengunjung disebabkan lokasi gerai asal adalah bersebelahan dengan pusat sementara penyembelihan ayam yang boleh menimbulkan bau kurang menyenangkan kepada pengunjung ditambah keadaan kebersihan di sekitar kawasan perniagaan yang tidak memuaskan.

“Tapak tersebut juga terbabit dengan pelaksanaan projek pelebaran jalan,” menurut kenyataan itu, lapor Bernama.

DBKL telah menawarkan beberapa insentif kepada para penjaja tersebut.

Antara insentif yang telah ditawarkan ialah pengecualian sewaan selama tiga bulan selepas berpindah ke Medan Selera Singgang MADANI@Batu Bata dan pengindahan serta pencahayaan di laluan pejalan kaki dari Stesen LRT Titiwangsa ke medan selera bagi tujuan keselamatan pengunjung gerai.