AMANAH: Parti ‘serpihan’ yang berevolusi

Parti Amanah Nasional (AMANAH) jauh berbeza dari Pas meskipun seringkali digelar sebagai parti ‘serpihan’ Pas.

Timbalan presiden AMANAH, Senator Datuk Seri Mujahid Yusof menerima gelaran ‘serpihan’ sebagai realiti politik namun berkata partinya itu juga berevolusi dalam menonjolkan perkara-perkara yang membezakannya berbanding dengan Pas.

“Sebagai sebuah parti yang dianggap serpihan Pas, kita tak boleh elak dari anggapan ramai bahawa kita serupa kerana itu label pada serpihan.

“Kita perlu terima itu sebagai realiti tetapi kita tidak boleh selamanya begitu kerana tanggapan serpihan adalah negatif.

“Kita tak mahu orang kata ini dua kali lima. Kita sudahpun mencari formula ketika itu untuk berevolusi,” kata beliau dalam semasa sesi temuramah eksklusif bersama Harapan Daily baru-baru ini di ibu pejabat AMANAH di Kuala Lumpur.

Justeru itu, kepimpinan parti telah membincangkan ciri-ciri parti ini yang akan membezakannya sekitar tahun 2016-2017. Ciri pertama yang membezakan AMANAH dengan Pas ialah rahmatan lil alamin (RLA).

Rahmatan lil alamin

Terdapat tiga perkara yang membezakan AMANAH dari Pas.

“Pertama, perkara yang paling besar membezakan kita dan Pas ialah apa tujuan besar Parti AMANAH muncul. Apa asas kita? Amanah berdiri memperjuangkan Islam rahmatan lil alamin. Itu besar. Benda itu disebut dalam perlembagaan parti adalah untuk membezakan.

“Keupayaan memperincikan dengan lebih tepat apa konotasi Islam. Tak ada siapa pertikai. Ada yang kata Islam dasarnya. Habis… yang lain bukan Islamkah?”

Umum mengetahui bahawa dasar Pas ialah Islam namun pentadbiran Pas di negeri yang dikuasainya tidak memperlihatkan nilai Islam dan dibelenggu pelbagai masalah.

Menurut Mujahid, perkara kedua yang membezakan AMANAH berbanding Pas ialah kebolehan AMANAH menterjemah RLA sebagai satu pendekatan dan juga dasar.

“Nilai yang kita tonjolkan sebagai satu mercu tanda Islam. Mercu tanda Islam itu ialah RLA kerana dari situlah kita berupaya untuk memperincikan dasar-dasar kita. Sifatnya membawa kebaikan, mendambakan keamanan, berpegang kepada nilai kemanusiaan yang tinggi.

“Tanggungjawab menegakkan keadilan tanpa kira kaum agama bangsa dan keturunan. Islam RLA juga tuntut kita jaga alam sekitar dan memastikan integrasi perpaduan. Kita boleh cakap itu tanpa perlu rasa kita buat-buat kerana kita dibentuk atas nama RLA.”

Beliau turut menjelaskan bagaimana pendekatan RLA membezakan AMANAH dari Pas.

“Kalau kita mampu bawa dalam bentuk praktikal dan satu bentuk solusi orang akan nampak beza Pas dan AMANAH. Orang dah nampak sekarang ini. Islam yang dibawa Pas yang marah-marah. Islam AMANAH rahmah. Yang dibawa oleh Pas jenamanya bersifat keras, kasar, melabel dan menghukum orang.

“Disini dilihat AMANAH berdialog mencari penyelesaian mengikut perundangan yang ada dan orang boleh membuat perbandingan dalam konteks isu-isu Islam yang dibangkitkan.”

Berakar umbikan kearifan tempatan

Perkara ketiga yang membezakan AMANAH dari Pas ialah parti berakar umbikan kearifan tempatan dan berjaya mentransformasi nilai kepada dasar dan seterusnya kepada sesuatu yang difahami rakyat – rahmah.

“Kita berbeza dalam memahamkan konteks Islam yang berakar umbikan kearifan tempatan. Kita bercakap bumi Malaysia, apa yang mendefinasiMalaysia – perlembagaan persekutuan, kepelbagaian kaum, sejarah Melayu, suasana ekonomi sistem pemerintahan. Itu semua menjadikan AMANAH lebih bersifat praktikal ketika berdepan isu Islam dengan berpijak di buminya.

“Tidak Islam yang berawang-awangan. (Ada pihak yang kata) Kita kena laksana hukum hudud. Apa dia hukum hudud? Macam mana laksanakan? Apa sistem parlimen yang ada? Proses untuk bawa konteks sebagai satu hukum. Kita Islam untuk semua tapi di Malaysia untuk semua bukannya memisahkan Melayu, Cina dan India. Kami lebih praktikal. Kita jadi kerajaan 2018.

“Apa yang diperkenalkan di bawah jenama AMANAH ketika saya Menteri Agama? Gagasan negara rahmah sudah diperkenalkan.

“Kalau orang selalu buat penilaian ialah bagaimana anda menterjemah dasar ke dalam sistem dan struktur kerajaan. Itu yang kita buat dan ia diterima oleh Majlis Raja-Raja pada Jun 2019, Kabinet pada 25 Oktober 2019 dan kita bentang kepada seluruh negara menjadi dasar rasmi kerajaan. Kalau itu yang dikatakan retorik, benda itu kita sudah laksanakan.”

AMANAH turut memperkenalkan konsep rahmah sebagai satu bantuan kepada masalah kos sara hidup di dalam kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Usaha ini telah diterajui oleh Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang menjadi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup sehingga akhir hayatnya.