‘Ambil Shieldtox ‘spray’, kita tak nak diganggu bila dalam kerajaan’
Pengarah Komunikasi Umno, Datuk Lokman Noor Adam menegaskan kerajaan tidak terdesak untuk kekal berkuasa susulan syor mewujudkan satu rang undang-undang (RUU) bagi menghalang pertukaran kerajaan sehingga ke akhir penggal.
Sebaliknya beliau berkata, pihaknya tidak mahu diganggu ketika sedang melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat dan negara.
”Apabila mereka takut dengan cadangan yang dibuat Datuk Seri Ahmad Zahid, maknanya mereka tahu kerajaan hari ini ada lebih daripada majoriti mudah, malah ada kekuatan dan jumlah ahli parlimen yang mencukupi untuk membolehkan mereka meminda perlembagaan.
RUU Penggal Tetap Parlimen telah dicadangkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai cadangan untuk mengelakkan percubaan menjatuhkan kerajaan seperti Langkah Dubai.
Walau bagaimanapun Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merasakan RUU tersebut bukan satu keutamaan yang diperlukan oleh kerajaan buat masa ini.
Beberapa pihak termasuk pembangkang telah mengkritik cadangan tersebut sebagai kaedah untuk mengekalkan kerajaan yang sedia ada.
“Ini kita kena faham maknanya mereka tidak cukup jumlah. Itu yang mereka kata Perdana Menteri terdesak, Zahid terdesak, bukan kita yang terdesak.
“Apabila kita dalam kerajaan, kita tak nak diganggu dengan kerja-kerja yang mengganggu macam nyamuk. Kita duduk dalam bilik, tiba-tiba di telinga bunyi ‘nyetttt’… Isham Jalil itulah inilah, KJ (Khairy Jamaluddin) itulah inilah.
”Jadi apa kita nak buat? Ambil Shieldtox ‘spray’ saja… yang penting sekali bilik tempat kita tidur itu bukan tempat digigit nyamuk,” katanya dalam satu video dimuat naik di Facebooknya, hari ini.