Bakal haji B40 perlu bayar RM12,356, umum TH

Kadar bayaran bagi seorang bakal haji muassasah kumpulan B40 yang pertama kali menunaikan ibadah itu ditetapkan pada RM12,356, manakala M40 pula ditetapkan pada RM19,152.

Kadar bayaran untuk musim 1445H/2024M itu diumumkan Lembaga Tabung Haji (TH) menerusi Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman di Menara TH, di ibu negara hari ini.

Beliau berkata, perkara ini susulan kos haji bagi seorang bakal haji Muassasah untuk menunaikan ibadah itu tahun ini ditetapkan RM33,300 berbanding RM30,850 tahun lalu.

“Kadar ini telah mengambil kira keprihatinan kerajaan Malaysia terhadap bakal haji kumpulan B40 dan kerajaan akan menanggung sebanyak RM1,000 seorang.

“Bakal haji kumpulan B40 akan menerima Bantuan Kewangan Haji dan bantuan kerajaan berjumlah RM20,944 seorang atau bersamaan dengan 63 peratus daripada kos haji.

“Sementara itu, bakal haji kumpulan M40 akan menerima Bantuan Kewangan Haji berjumlah RM14,148 seorang atau 42 peratus daripada keseluruhan kos haji,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Pengumuman Surat Tawaran dan Bayaran Haji 1445H/2024M di Menara TH.

Muassasah merujuk kepada bakal haji pergi menunaikan rukun Islam kelima itu melalui pengurusan Tabung Haji dan bukannya mengikut pakej yang disediakan pihak swasta.

Bagi kumpulan T20 pula, Syed Hamadah berkata mereka akan dikenakan bayaran penuh kos untuk menunaikan ibadah haji sebanyak RM33,300 seorang.

“Kami turut terdedah kepada faktor di luar kawalan seperti peningkatan kadar inflasi, cukai nilai tambah dan caj perkhidmatan di Tanah Suci,” katanya mengulas mengenai peningkatan kos haji itu.

Syed Hamadah berkata, pihaknya juga telah memeterai perjanjian kontrak jangka panjang melibatkan penerbangan, penginapan, sajian makanan dan beberapa perkhidmatan di Arab Saudi dalam usaha mengawal peningkatan kos haji,

“Walaupun berlaku kenaikan kos haji, TH tetap mencari kaedah terbaik mengimbangi usaha memberikan perkhidmatan cemerlang demi kebajikan jemaah negara di samping mengekalkan kelestarian kedudukan kewangan.

Menurut beliau, jemaah haji dari kumpulan B40 menikmati Bantuan Kewangan Haji hingga 42 peratus manakala M40 pula, 60 peratus dan ini turut menyebabkan tekanan kedudukan kewangan kepada TH.