CUEPACS: Tohmahan ke atas KSN, fitnah yang gugat sektor awam

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyifatkan tohmahan yang tular bahawa Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Zuki Ali disiaasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sebagai fitnah yang menggugat sektor perkhidmatan awam.

“CUEPACS sekeras-kerasnya menyelar tindakan tidak bertanggungjawab tersebut yang sememangnya sangat tidak berasas dan boleh memberi implikasi negatif kepada institusi perkhidmatan awam serta menjejaskan kepercayaan kepada kerajaan,” kata presidennya Datuk Dr Adnan Mat.

“Dalam hal ini CUEPACS menolak sebarang campur tangan daripada pihak luar yang mempunyai kepentingan tertentu untuk turut sama melibatkan institusi perkhidmatan awam terutama Ketua Setiausaha Negara dalam agenda mereka.

“Budaya menyebarkan fitnah ini perlu dihentikan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab kerana ia boleh mencalarkan imej perkhidmatan awam yang sentiasa neutral dan profesional dalam setiap tindakan.

“CUEPACS sentiasa menyokong usaha untuk menghapuskan rasuah dan penyalahgunaan kuasa sekiranya terbukti berlaku tetapi menolak budaya fitnah yang hanya merosakkan keharmonian negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian susulan penjelasan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Tan Sri Azam Baki lewat malam tadi.

“Kita tidak siasat KSN, itu semua bohong belaka,” kata Azam.

Dakwaan berkenaan siasatan tersebut telah tular di X.